Saturday, 29 August 2026

MEH LAH JOHOR

 
Tahun 2026 adalah Tahun Melawat Johor. Kerajaan Negeri Johor melalui Tourism Johor melancarkan Visit Johor 2026 sebagai manifestasi komitmen Johor dalam usaha memperkukuh jenama pelancongan negeri sebagai destinasi pilihan serantau dan antarabangsa.

Kerajaan negeri menyasarkan menerima 12 juta pelancong sepanjang 2026 dengan jangkaan hasil ekonomi melebihi RM42 bilion. Johor kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti Taman Negara Tanjung Piai, Gunung Ledang, Endau Rompin, pulau-pulau di Mersing, Kampung Sungai Melayu dan seni budaya yang unik.

Inisiatif kerajaan Johor dalam merancakkan sektor pelancongan serta platform yang menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi tempatan melalui impak aktiviti rantaian daripada sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Untuk rekod, maskot rasmi Visit Johor 2026 adalah Cuping dan Jucy yang juga dua harimau belang spesies Panthera Tigris.

Cuping adalah harimau jantan yang lahir di Zoo Johor pada 2013, yang mana namanya diinspirasikan daripada parut di telinga (cuping) akibat gigitan si ibu yang meninggalkan parut kekal.

Cuping melambangkan kekuatan, ketabahan dan semangat juang bangsa Johor kerana karakternya yang melindungi, berwibawa, tetapi tetap mesra dengan pelancong sekali gus menonjolkan imej 'strong, protective and proud'.

Manakala, Jucy pula harimau betina yang lahir di Zoo Johor pada 2018 yang mana namanya diambil daripada induk asal Zoo Johor, harimau Jeli dan Juli.

Jucy melambangkan keanggunan, keramahan serta hospitaliti Johor yang membawa imej 'friendly, approachable and caring' sekali gus sebagai simboliknya, Cuping dan Jucy melambangkan keseimbangan lelaki dan wanita; kekuatan dan kelembutan serta tradisi dan moden.

Kedua-duanya menjadi duta kecil Johor yang akan membawa cerita negeri ini ke seluruh dunia, menjadi wajah ceria penduduk Johor dalam menyambut para pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang Visit Johor 2026.

'Meh Lah Johor!' pula dipilih sebagai 'tagline' rasmi kerana bersifat mesra serta mewakili keramahan bangsa Johor yang sentiasa mengalu-alukan tetamu.

Ia menunjukkan ajakan terbuka kepada semua pelancong dan rakyat tempatan untuk menerokai keindahan dan keunikan Johor, selain lagu Pesona Johor pula dipilih sebagai lagu rasmi yang mengangkat keistimewaan 10 daerah di Johor dan kepelbagaian budaya serta elemen produk pelancongan popular diabadikan dalam setiap bait senikata lagu.

Melodi yang terhasil bukan sahaja menjadi simbolik kepada kesatuan dan jati diri bangsa Johor, tetapi juga mencerminkan sifat mesra dan keramahan bangsa Johor. 







No comments:

Post a Comment