Ahli sejarah meriwayatkan ketika Nabi
SAW berada di Madinah, sikap kaum kafir terhadap Baginda terbahagi kepada tiga
golongan.
Golongan pertama mereka yang melakukan
perjanjian damai untuk tidak memerangi Baginda selain memberi bantuan
menghapuskan musuh. Mereka juga mendapat jaminan keamanan sama ada nyawa atau
harta.
Golongan kedua ialah yang memerangi
Baginda dan menunjukkan sikap permusuhan.
Manakala golongan ketiga, yang tidak
mempedulikan, tidak mengadakan perdamaian, tetapi tidak memerangi Baginda.
Bahkan mereka menantikan terjadinya
pertentangan antara Baginda dengan musuhnya. Sebahagian golongan itu ada yang
secara diam-diam menginginkan Baginda mendapat kemenangan terhadap musuhnya.
Tetapi sebahagian lagi bersikap
berpura-pura menyenangi Nabi SAW tetapi hati kecilnya lebih tertumpu untuk
memihak kepada musuh, kerana ingin memperoleh keselamatan daripada kedua-dua
belah pihak yang bermusuhan.
Golongan terakhir inilah yang
disebutkan golongan munafik. Nabi SAW melayani tiap-tiap golongan itu sesuai
dengan perintah Tuhan kepadanya.
Contohnya, dengan bangsa Yahudi
Madinah Baginda mengadakan perjanjian damai dan mengadakan akta keamanan.
Sebenarnya perbezaan agama tidak
menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam
perkara yang diizinkan syariat. Islam adalah agama perdamaian dan agama
toleransi.
No comments:
Post a Comment