Wednesday, 30 May 2018

AMALAN RITUAL HANYA HEBAT PADA ZAHIR

Ritual adalah adat atau tatacara dalam upacara yang dilakukan atas nama agama. Apa yang dilakukan dalam ritual lebih kepada adat, walaupun ia dikatakan tuntutan agama.

Sebab itu, seseorang yang melakukan kerana ritual tidak faham apa sebenarnya yang dituntut oleh agama. Mereka melakukan sekadar satu kebiasan dalam adat yang telah dilakukan dalam masyarakat.

Disebabkan itu, segala amalan dilakukan pada bulan Ramadan lebih mirip sebagai ritual, maka ia akan tamat sebaik tamatnya Ramadan. Bahkan, dalam soal sembahyang tarawih bilangan jemaahnya berkurangan setiap hari apabila menghampiri akhir Ramadan. 

Apabila hari semakin menghampiri Aidilfitri, lebih ramai memberi tumpuan kepada persiapan sambutan hari raya. Tumpuan kepada ibadat puasa semakin disisihkan dan tidak sabar-sabar untuk menyambut Aidilfitri.

Ritual untuk menyambut Aidilfitri itu lebih besar dan meriah. Persiapan menghadapinya perlu kepada tumpuan yang lebih dan melibatkan perbelanjaan lebih besar.

Kejahilan ilmu agama dan cara-cara sebenar bagaimana ibadat puasa perlu dilakukan menyebabkan ramai orang tidak melakukan sepenuh hati. Ramai beranggapan sudah memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa. 

Orang jahil melakukan puasa sekadar mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga berpuasa. Memang tidak sukar melakukan puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. 

Biasanya ibu bapa turut menyuruh anak-anak berpuasa. Malah, kita ditakut-takutkan jika tidak berpuasa tidak akan mendapat baju baru dan tidak dibenarkan menyambut hari raya. 

Apabila telah dewasa, ibadat puasa sudah menjadi kebiasaan. Malangnya, sepanjang melakukan ibadat puasa tidak difahami apa yang dilakukan. Mereka tidak melakukan perbuatan membatalkan puasa, tetapi tidak menyelami tujuan puasa yang sebenarnya.

Penerapan kefahaman mengenai ibadat puasa perlu disemai di dalam setiap sanubari setiap Muslim. Pengetahuan agama yang mendalam mengenai sesuatu ibadat penting bagi memastikan keikhlasan dan kemanisan melakukan ibadat.

Kesempurnaan melakukan sesuatu ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya nilai ibadat bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya. 

Orang yang berpuasa bukan diasaskan rasa keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.

Betapa ruginya berpuasa sedangkan tidak mendapat pahala berpuasa. Dia berjaya menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak berjaya meletakkan puasanya pada kedudukan yang baik disebabkan kejahilan diri dan hasutan syaitan.

No comments:

Post a Comment