Thursday, 3 June 2021

CARA ELAK REMAJA AKTIVITI TIDAK BERFAEDAH

 Terdapat beberapa langkah wajar dilakukan untuk mengelak remaja daripada terjebak aktiviti tidak sihat.   

Tingkatkan daya ketahanan iman. Perkara utama yang memperkuatkan jati diri ialah iman. Kehidupan akan menjadi rosak jika jiwa tidak dihiasi dengan iman. Didikan iman perlu disemai sejak usia kanak-kanak lagi. 

Amalan keagamaan perlu dihidupkan dalam keluarga. Paling penting seluruh ahli keluarga mesti menunaikan sembahyang fardu lima kali sehari. Itulah tiang agama dan menjadi benteng daripada terlibat melakukan perbuatan tidak baik. 

Mengabaikan tanggungjawab menunaikan sembahyang fardu samalah mencabut keimanan daripada diri. Tidak ada lagi benteng untuk menahan diri daripada dipengaruhi unsur menyesatkan kehidupan.  

Memperkukuhkan institusi keluarga. Kehidupan keluarga yang bahagia penting untuk mencorakkan kehidupan anak yang terpimpin. Keluarga yang dipenuhi rasa kasih sayang dan saling menghormati mendorong remaja lebih suka berada di rumah.  

Semakin panjang masa dihabiskan dengan keluarga, kebarangkalian terlibat dengan unsur negatif semakin kurang. Mereka hanya keluar rumah untuk urusan tertentu dan akan segera pulang. 

Beri panduan memilih kawan. Pengaruh rakan sebaya amat besar dalam kehidupan remaja. Remaja memilih kawan berpekerti mulia akan turut terpengaruh mengikutinya. Sebaliknya, remaja terpengaruh dengan budaya maksiat jika berkawan dengan mereka mengamalkan aliran itu. 

Ibu bapa perlulah mengambil tahu dengan siapa anak mereka berkawan. Kenalilah rakan anak-anak dan jadikan mereka seperti rakan. 

Memilih hiburan yang dibenarkan syariat. Islam tidak menegah umatnya berhibur. Hiburan adalah keperluan jiwa untuk rasa tenteram dan ceria. Hidup manusia menjadi lebih berkualiti dengan menghayati hiburan. 

Sebaliknya, hiburan yang mempunyai unsur liar dan menolak ketuhanan akan membawa keburukan kepada semua. Hidup menjadi tidak terkawal. Perasaan menjadi lebih tidak menentu. Semakin dituruti, semakin jauh daripada jalan kebenaran.     

Mengisi masa dengan aktiviti berfaedah. Remaja terjebak dengan aktiviti tidak sihat disebabkan jiwa yang kosong. Mereka ingin sesuatu kelainan dalam kehidupan.  Untuk mengisi masa terluang itu perlulah diperbanyakkan aktiviti berfaedah untuk mereka. 

Aktiviti sukan, riadah, membaca, gotong royong dan berpersatuan adalah antara aktiviti berfaedah yang patut disertai remaja.  

No comments:

Post a Comment