Wednesday 4 September 2024

BN GABUNGAN PARTI PALING LAMA MENTADBIR MALAYSIA

 
Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah gabungan beberapa parti politik di Malaysia yang lama mentadbir negara. Hasil gabungan BN ini berjaya membentuk negara Malaysia yang pada hari ini berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seiring dengan negara maju.
 
Hakikat yang perlu diterima kini ialah perubahan geopilitik tanah air di samping kesan daripada sentimen-sentimen yang mendorong kepada sokongan kepada BN yang semakin pudar sehingga mengakibatkan BN tewas buat pertama kalinya pada PRU ke-14 dan semakin merudum pada PRU ke-15.
 
Namun, inilah perjalanan politik yang perlu diterima. Tidak selalu kita berada di atas dan adakalanya kita berada di bawah untuk kita bangkit dan bina semula kekuatan yang seiring dengan kehendak zaman.
 
Sesungguhnya, setiap ahli parti di semua peringkat sehingga kepimpinan BN harus fokus untuk bangkit dalam PRU akan datang kerana tiada yang mustahil dilakukan dan sejarah telah membuktikan BN mampu untuk mengulangi keputusan PRU 2004.
 
BN perlu bina semula semangat keutuhan dan kesepaduan bagi memperkukuh perjuangan kekal utuh dalam kalangan ahli parti BN.
 
BN bukan sekadar parti politik biasa tetapi BN adalah gabungan parti politik yang selama ini memperjuangkan hak dan suara rakyat, mengutamakan kepentingan negara dan memastikan keseimbangan sosial, ekonomi dan pembangunan negara di pelbagai peringkat.
 
Inilah kelebihan BN yang tidak boleh dinafikan dan kekuatan ini perlu dibina semula, dipertonjolkan semula kepada ahli parti dan rakyat bahawa pemimpin dan ahlinya bukan mahu bermain politik, tetapi serius dalam mengangkat martabat kehidupan rakyat sejagat.
 
Antara tujuan utama penubuhan BN adalah untuk memupuk dan mengekalkan keharmonian serta kesatuan di kalangan rakyat Malaysia.
 
Selain itu, BN berusaha untuk mencapai perkembangan jasmani dan rohani dan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama utama Persekutuan tapi memastikan agama-agama lain dapat diamalkan dengan aman di seluruh negara dan menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara.
 
BN juga berazam untuk membentuk masyarakat yang adil dan saksama, serta mengukuhkan hubungan di antara ahli-ahli parti dalam gabungan ini.
 
Setiap parti anggota memiliki hak sepenuhnya untuk menyertai, memberikan pandangan, dan mengundi dalam pertemuan Dewan Tertinggi, Jawatankuasa Penyelaras Negeri, dan Jawatankuasa Penyelaras Bahagian mengikut kehendak masing-masing.
 

No comments:

Post a Comment