Air
Terjun Lata Berangin terletak di Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) Lembaga
Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Sungai Pas, Kuala Krai, Kelantan. Letaknya
kira-kira 18 kilomter dari bandar Kuala Krai. .
Ia boleh
dikunjungi melalui Guchil-Batu Balai-Kampung Mengkebang-Kampung Sungai Pas.
Boleh juga melalui Kampung Pahi-Kampung Sungai Pas. Laluan lain ialah dari Laloh-Chuchoh
Puteri.
Keindahan Lata Berangin terletak kepada dinding batu
pejal setinggi kira-kira 120 meter yang menjadi punca air terjun. Pemandangan
cantik itu sudah kelihatan sebaik pengunjung memasuki kawasan itu. Ia secara
langsung menggamit rasa tidak sabar untuk pengunjung menghampiri kawasan itu
dan menikmati suasana damai lagi mengasyikan itu.
Sungguh pun kawasan itu berada di lurah dalam yang di
kelilingi dinding batu pejal dan bukit, suasananya sungguh nyaman dengan tiupan
angin.
Kolam
yang terdapat di kawasan tersebut selamat untuk bermandi-manda. Kawasan Air
Terjun Lata Berangin juga sesuai dijadikan sebagai tempat perkhemahan secara
berkumpulan.
Air
terjun ini dikatakan diberi nama Lata Berangin kerana angin yang terdapat di
kawasan kolam utama air terjun tersebut. Menurut pengunjung, udara di kawasan
Lata Berangin ini sangat nyaman dan sesuaI untuk dijadikan sebagai destinasi
riadah bersama keluarga.
Seperti
kebanyakan air terjun di kawasan yang lain, panorama yang terdapat di Lata
Berangin ini juga tidak kurang hebatnya. Terdapat pelbagai spesies flora dan
fauna yang menghiasi alam sekeliling yang tidak jemu mata memandang.
Suasana
di Lata Berangin ini juga tenang dan jauh dari kesibukkan bandar. Di sini juga
merupakan tempat yang sangat sesuai bagi mereka yang ingin merehatkan minda
khususnya bagi mereka yang ingin melepaskan diri daripada bebanan kerja dan
tekanan hidup di bandar.
Sebelum ini,
Lata Berangin lebih dikenali sebagai tapak mini hidro elektrik. Namun,
janakuasa itu kini tidak berfungsi lagi. Ia sekaligus menjadikan tempat itu
terbuka kepada semua pengunjung.
Malah,
aliran air yang dulu separuh daripadanya dialirkan melalui pembentung kini
sepenuhnya menjadi air terjun yang mengalir cantik. Masalah kekurangan air
terjun kini tidak berlaku lagi apabila tidak perlu berkongsi dengan pembentung.
Tapak
perkelahan Lata Berangin telah dibangunkan dengan pembinaan jalan berturap,
tandas, tempat letak kereta, wakaf, gerai menjual makanan, tangga konkrit turun
ke sungai dan beberapa kemudahan lain. Terdapat juga jambatan gantung untuk
menyeberangi sungai. Kemudahan yang disediakan itu menjadikan tempat itu lebih
menarik dan memberi keselesaan kepada pengunjung.
Sumber
air dari puncak tersembur keluar dengan laju turun menghempas batuan pejal
membentuk satu pemandangan yang cantik. Ia melalui satu lurah batu sebagai
laluan utama, selain ada laluan kecil dari beberapa arah. Namun, apabila hampir
sampai ke bawah, ia bersatu membentuk satu laluan air terjun saja dan terus masuk
ke satu kawasan.
Di tempat
di mana berakhir air terjun, terdapat sebuah kolam sederhana besar. Ia sesuai
dijadikan tempat untuk berenang dan melakukan aksi terjun. Bagaimanapun,
dinasihatkan kepada pengunjung yang tidak tahu berenang tidak mandi di kolan
itu disebabkan ia agak dalam berbahaya.
Begitu
pun, pengunjung boleh mandi manda di kawasan air cetek yang selamat, termasuk
kanak-kanak, asalkan tidak masuk ke kawasan air dalam di tempat air terjun.
Airnya
yang dingin, jernih dan mengalir menjadikan aktiviti mandi manda begitu
menyeronokkan. Ia sesuai dijadikan aktiviti berkeluarga kerana semua orang
boleh terlibat sama.
Jika
tidak mandi manda, anda boleh beristirahat di kawasan berbatu di tepi sungai.
Rehatkan diri anda bersama keluarga sambil menikmati suasana damai dengan
melepaskan pandangan ke air terjun yang berkejaran menghempaskan diri ke
batu-batu pejal.
Diharapkan
Lata Berangin akan terus dimajukan dan dipromosikan sebagai destinasi
pelancongan terkenal di Kuala Krai.
No comments:
Post a Comment