Friday, 1 May 2026

SEJARAH TERBENTUKNYA NEGERI SEMBILAN

 
Negeri Sembilan dibentuk oleh sembilan buah luak. Luak adalah negeri atau daerah pemerintahan tradisional berdaulat, ditadbir seorang undang yang dipilih secara "kebulatan" oleh anak-anak buah menurut "alur dan patut", resam dan resmi wilayah tersebut.

Sejarahnya bermula apabila perantauan Minangkabau berhijrah ke kawasan yang dikenali Negeri Sembilan sekarang ini. Petempatan baharu dibuka menjadi kampung dan seterusnya membentuk luak.

Rakyat negeri semakin ramai, ancaman perang banyak datang, sembilan luak tadi bersepakat untuk "mempersekutukan" negeri-negeri mereka di bawah seorang "raja".

Maka dipersetujui untuk dijemput seorang "anak raja" daripada Pagar Ruyung diangkat sebagai "Yang Di-pertuan".

Catatan Winstedt menyebut ‘Negeri Sembilan’ dirakam pertama kali dalam perjanjian pada 11 November 1759. Perjanjian ditandatangani Gabenor Belanda di Melaka, David Bulen, Yamtuan Muda Daeng Kemboja dari Linggi, Raja Tua dari Kelang dan Ketua-ketua dari Rembau dan Negerinya yang Sembilan.

Ia awal 14 tahun sebelum Raja Melewar dijemput sebagai Yamtuan Pertama Negeri Sembilan pada tahun 1773M.

Adapun sembilan luak itu, ada pendapat berbeza di kalangan pencatat sejarah. Ada beberapa catatan mengenai sembilan luak.

T.J. Newbold mencatatkan bahawa sembilan luak itu terdiri daripada Naning, Sungai Ujong, Johol, Segamat, Jelebu, Kelang, Rembau, Ulu Pahang dan Jelai.

Martin Lister pula berpandangan ia terdiri daripada Kelang, Sungai Ujong, Johol, Jelebu, Naning, Rembau, Pasir Besar, Jelai dan Segamat. Beliau memasukkan Ulu Pahang dan mengugurkan Pasir Besar.

Wilkinson pula mencatatkan sembilan luak itu terdiri daripada Naning, Rembau, Sungei Ujong, Jelebu, Kelang, Inas, Pasir Besar, Segamat dan Jelai.

Manakala Winsted dan Nathan akhirnya mengubah senarai itu kepada: Sungei Ujong, Jelebu, Rembau, Naning, Kelang, Segamat, Pasir Besar (sekarang Johol), Jelai (sekarang Inas) dan Ulu Pahang (antara Ulu Serting dengan Temerloh).

Semua catatan itu menyebut adanya sembilan luak. Namun, bagi Josselin de Jong pula, angka ‘sembilan’ itu sekadar angka ideal dan didakwa tidak pernah wujud sembilan luak.

Pada tahun 1889, apabila Rembau, Johol dan Seri Menanti bersatu, namanya tetap Negeri Sembilan walaupun hanya ada tiga daerah. Pada tahun 1898, wujud 13 daerah dan pada tahun 1934 mempunyai 12 daerah.

Dengan kata lain, angka "9" hanyalah simbolik kepada yang sukar untuk diperjelaskan ketika mana sebenar sembilan luak itu wujud.

Negeri Sembilan moden ini terbentuk daripada gabungan empat Luak Berundang (Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau) dan lima Luak Berpenghulu (Ulu Muar, Terachi, Gunung Pasir, Ineh dan Jempol).

Adapun luak-luak berpesaka lain yang ada iaitu Pasir Besar, Air Kuning dan Lingkungan bernaung di bawah salah satu daripada empat Luak Berundang dan lima Luak Berpenghulu.

Satu lagi istilah yang dipakai iaitu "Wilayah Adat Tampin" diketuai oleh Tuanku Besar Tampin yang tarafnya seperti "undang" di wilayahnya.

Gambar - Istana Besar Seri Menanti

No comments:

Post a Comment