Pada sambutan Aidiladha, individu berkemampuan disunatkan
melakukan ibadah korban. Ia satu cara hamba bertaqarrub iaitu mendekatkan diri
dengan Allah SWT selaras hikmah dan fadilat korban antara lain mendidik jiwa ke
arah takwa, mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu
berbelanja harta ke jalan Allah SWT.
Umat Islam juga ditegaskan supaya bersedia untuk berkorban
apa saja demi membuktikan keimanan serta kecintaan kepada Allah SWT.
Ada yang mengambil bahagian dalam ibadat korban ini kerana
ingin menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim membantu saudara seagama yang
memerlukan, ada pula hanya mengikut kerana itulah acara wajib pada Aidiladha.
Perubahan gaya hidup serta kejadian berlaku di seluruh dunia turut mempengaruhi
pengertian terhadap ibadah korban kerana majlis korban juga dianjurkan di luar
negara khususnya di kawasan umat Islam hidup dalam keadaan daif.
Malah, teknologi dalam industri makanan juga digunakan untuk mengetin daging
korban supaya lebih tahan lama serta dapat disedekahkan kepada umat Islam yang
tinggal di kawasan konflik atau peperangan.
Apa juga sebabnya, hidup manusia tidak akan lepas daripada berdepan situasi di
mana mereka perlu melakukan pengorbanan. Justeru, berkorban atau pengorbanan
itu memberi maksud yang berbeza.
Penghayatan ibadah korban bergantung kepada niat seseorang melakukan ibadat itu
kerana perasaan ikhlas tidak dapat dilihat atau digambarkan oleh ekspresi.
Niat ikhlas mengeluarkan duit untuk membeli binatang ternakan yang akan
dikorbankan dan disedekahkan kepada golongan kurang bernasib baik sudah dikira
sebagai pengorbanan. Jika ibadat itu dilakukan ikhlas kerana Allah SWT, dikira
sebagai ibadat.
Dengan mengumandangkan takbir, tahlil dan tahmid kita menyedari sepenuhnya
bahawa manusia adalah makhluk yang kecil di hadapan kebesaran Allah SWT.
pencipta alam semesta. Juga kita menyedari bahawa kita hanyalah sebagai makhluk
yang daif dan hina di hadapan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment