Sunday, 15 November 2026

KEDAH DITAWAN TENTERA SIAM

 
Kedah ditawan tentera Siam.

Serangan kerajaan Ligor (Nakhon Si Thammarat) ke atas Kedah berlaku pada 12 November 1821 di bawah pimpinan Raja Ligor, Phya Buri Sakhmuton (Phra Borirak Phubet), yang mencetuskan Perang Kedah-Siam atau Perang Musuh Bisik.

Akibat serangan mengejut dan penuh tipu daya, kerajaan Kedah berpusat di Kuala Muda runtuh.

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II terpaksa berundur untuk menyelamatkan diri. Baginda mendapatkan perlindungan di Pulau Pinang sebelum meneruskan usaha mendapatkan semula takhta Kedah.

Ramai rakyat turut melarikan diri ke Pulau Pinang, Perak dan kawasan pedalaman bagi mengelakkan menjadi mangsa peperangan. Kira-kira hanya 10,000 rakyat Kedah berjaya menyelamatkan diri.

Selepas penaklukan itu, Siam mentadbir Kedah melalui wakil-wakil yang dilantik. Tempoh tersebut menyaksikan rakyat Kedah menghadapi pelbagai kesukaran, termasuk kehilangan harta benda, perpindahan penduduk dan perubahan sistem pentadbiran.

Walaupun begitu, semangat rakyat Kedah tidak pernah luntur. Beberapa usaha dan kebangkitan dilakukan bagi menentang penguasaan Siam.

Kali pertama serang balas dilakukan oleh angkatan perang Tunku Kudin pada 1831.

Kali kedua melalui percubaan angkatan perang Tunku Muhammad Saad pada 1838 yang berjaya menghalau keluar tentera Siam dari Kuala Muda sehingga berjaya mara hingga ke Singgora (Songkhla hari ini).

Di sana, Tunku Muhammad Saad melaungkan kata-kata: "Kali ini, kita akan mengamuk sampai ke Bangkok."

Bagaimanapun disebabkan angin monsun, angkatan Tunku Muhammad Saad tidak dapat untuk mara terus.

Kesempatan itulah diambil oleh British yang belot untuk menghantar bekalan senjata kepada Siam. Siam melakukan serangan balas menyebabkan angkatan Tunku Muhammad Saad terpasa berundur.

Sepanjang tempoh perang, angkatan Kedah bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan Siam tetapi juga British yang belot.

Kapal-kapal British bawah pimpinan Kapten Warren mengawal pantai menyebabkan angkatan pahlawan Kedah yang berlindung di pulau-pulau Songsong, Bunting, Bidan dan Payar dan Setol, tidak dapat membantu saudara mara di daratan yang teruk dibantai oleh tentera Siam.

Tunku Muhammad Saad berjaya menguasai Kuala Muda selama enam bulan selepas Siam berjaya dihalau keluar antara Jun hingga Disember 1838.

Kalaulah tidak kerana campur tangan British, memang Siam tidak akan mampu atau berani untuk kembali ke Kedah.

Dalam keadaan Kedah begitu aman, British yang ada kepentingan dengan Siam disebabkan oleh Perjanjian Burney (1826), menghasut Siam untuk serang semula Kedah pada penghujung tahun.

Sikap British amat biadab. Mereka melakukan sekatan di laut dengan kapal Hyacinth bagi memudahkan Siam menyerang Kedah melalui darat.

Hal kecekapan pentadbiran Tunku Muhammad Saad di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, diakui oleh sejarawan British sendiri sebagai 'wisdom, prudence and integrity'. (Kedah and Tuanku Mahomed Saad, Asiatic Jurnal and Monthly Register For Foreign India, China and Australasia, muka surat 109-116, Vol XXXV, May - August, 1841).

Selepas lebih dua dekad melalui pelbagai rundingan dan perubahan politik di rantau ini, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II akhirnya dipulihkan semula sebagai pemerintah Kedah pada tahun 1842.

Gambar Menara Alor Star, mercu kebanggan Kedah.

No comments:

Post a Comment