Hutan Lipur Sekayu atau Air Terjun
Sekayu terletak di sebuah perkampungan kecil yang dinamakan Kampung Sekayu. Jaraknya
kira-kira 56 Km dari Kuala Terengganu dan hanya 13 Km dari Kuala Berang. Lokasi ini boleh dicapai melalui persimpangan Ajil Lebuh Raya
Pantai Timur..
Kawasan tersebut yang juga dikenali
sebagai Taman Pertanian Sekayu dirasmikan pembukannya oleh Datu Seri Wan
Mokhtar Wan Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 15 Mei 1985.
Hutan Lipur Sekayu memang sesuai
dikunjungi sebagai destinasi perkelahan sekeluarga. Kawasannya memiliki
keindahan semulajadi hutan, air terjun, sungai dan batu-batu.
Kawasan air terjun dan sungainya
yang jernih dan dingin memang sesuai untuk mandi manda. Alirannya tidak berapa
deras dan kebanyakan kawasan airnya pula tidak dalam.
Bagaimanapun pengunjung perlu
berhati-hati kerana ada kawasan yang airnya dalam dan berbahaya bagi mereka
yang tidak pandai berenang.
Hutan Lipur Sekayu sememangnya terkenal
dengan buminya yang kaya dengan pelbagai keunikan khazanah semulajadi. Hutan
Lipur ini dihiasi indah dengan aliran sungai berair terjun yang dingin dan
jernih pastinya menggamit suasana damai, nyaman lagi menyegarkan.
Hutan semulajadinya yang berbukit dilitupi
barisan hujan tropika yang menghijau, kaya dengan pelbagai spesies pokok
termasuklah yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi juga terdapat di sini.
Pengunjung boleh mengenali pokok-pokok yang bernilai komersial dengan mudah
kerana ia ditanda dengan nama serta keterangan ringkas.
Di sini juga terdapat banyak
infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan seperti
tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah,
jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi.
Selain daripada itu,
kemudahan dewan turut disediakan kepada pengunjung untuk membuat aktiviti di
dalam dewan contohnya sambutan hari keluarga atau lain-lain aktiviti.
No comments:
Post a Comment