Thursday, 22 February 2018

POLITIK ISLAM URUS NEGARA BERDAULAT

Politik adalah ilmu berkaitan pemerintahan sebuah kerajaan atau negara. Justeru, biarpun tanpa parti politik, pentadbiran negara tetap dipanggil politik kenegaraan.

Apa yang dikatakan politik Islam adalah siysah syariyyah dalam pengertiannya yang luas.  Apa yang dikatakan siyasah syariyyah pula sebenarnya dalam pengertian yang luas adalah pemerintahan dan pentadbiran yang dipimpin seorang imam.  Dalam sejarah disebut sebahagian khalifah atau amirulmukminin. 

Dalam kamus Al-Munjid, takrif siyasah ialah mengendalikan urusan sebuah negara, memperbaiki keadaan dan urusan manusia serta mentadbirakan urusan sesebuah negeri.

Pada zaman Rasulullah SAW tiada parti politik ditubuhkan. Rasulullah SAW tidak menjadi pemimpin parti politik. Tetapi, Baginda menjalankan politik Islam atau pemerintahan mengikut lunas Islam.

Politik Islam menjadi sebahagian syariah atau cari hidup mengikut Islam. Pengabaian politik Islam bererti cuai dan angkuh terhadap syariah itu sendiri. Politik Islam melihat kepada pentadbiran untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan perkara buruk.

Apa sahaja yang membawa kepada kebaikan menepati kehendak Islam. Manakala perbuatan atau amalan membawa kepada keruntuhan mesti jauhi.

Satu prinsip perlu ditegaskan ialah menyertai politik untuk kebaikan ummah dan rakyat. Sesiapa yang memperjuangkan kepentingan peribadi, ahli keluarga atau kelompok tertentu sahaja sebenarnya satu penyelewangan dalam politik.

Penyelewengan politik mengakibatkan kehancuran tamadun dan kahakisan akidah, seterusnya kelumpuhan daya juang dalam kehidupaan ummah.

Politik gila kuasa menyebabkan rakyat melihat politik sebagai kotor. Mereka tidak mahu menyertai politik kerana tidak mahu terheret sama dalam dunia yang kotor.

Tanggapan salah terhadap konsep politik ini menjadi antara punca utama kekeliruan dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Demi kuasa ada orang Islam sanggup mengikut telunjuk bukan Islam.

Inilah kelemahan politik orang Islam yang mudah terpengaruh dengan janji ditawarkan bukan Islam. Kononnya, itu akan memperkukuhkan kedudukan politik orang Islam, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Banyak pemimpin Islam di negara Islam menjadi boneka kepada kerajaan bukan Islam. Biarpun yang berada pada haraki tertinggi dalam pemerintahan adalah orang Islam, tetapi mereka tidak mampu untuk membawa kebaikan kepada umat Islam.

Islam dengan tegas telah menggesa para pemerintah melakukan keadilan. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila kamu menghukum di antara manusia, maka hendaklah kamu berlaku adil." (Surah An-Nisa, ayat 58). 

Ayat ini pada mulanya menyentuh tentang hukuman yang dijatuhkan, tetapi tidaklah dirgukan bahawa pengertiannya meliputi keadilan di dalam politik dan di dalam mengurus pentadbiran yang berhubung dengan rakyat jelata.

Umat Islam perlu mencari kekuatan untuk berkuasa dengan kekuatan sendiri. Tidak salah mengadakan kerjasama dengan bukan Islam dalam urusan negara, tetapi biarlah bukan Islam berada di bawah kekuasaan pemimpin Islam sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment