Thursday, 31 December 2020

LAMPU GASOLIN GUNA MINYAK TANAH

Lampu gasolin guna minyak tanah. Sejenis lampu yang menggunakan minyak tanah sebagai bahan pembakaran. 

Gasolin sebenarnya minyak petrol. Jadi, tidak pasti mengapa nama lampu gasolin digunakan, sedangkan menggunakan minyak tanah. Istilah digunakan untuk minyak tanah adalah kerosin.

Lampu gasolin atau dipanggil juga lampu gaslin mengikut dialek di tempat masing-masing adalah pengganti kepada mentol lampu elektrik. 

Konsep lampu gasolin yang pertama dijelaskan oleh al-Razi pada abad ke-9, yang memanggilnya "naffatah" di dalam Kitab al-Asrar (Buku Rahsia).

Lampu gasolin sangat dekat dengan masyarakat dahulu. Kalau di rumah itu ada lampu gasolin telah dianggap ‘mewah’ dan rumah diterangi cahaya yang jauh lebih terang berbanding berpuluh-puluh pelita.

Minyak tanah diisi di dalam tangki yang terletak di bahagian bawah. Minyak tanah dalam dialek Kelantan dipanggil ‘minyak gas’ atau ‘minyak gah’.

Mentol yang menghasilkan cahaya perlu terlebih dulu ‘dibakar’ menggunakan minyat speret (spirit) atau sekarang disebut turpentine. Minyak spirit dimasukkan dengan mengangkat sedikit cermin lampu gasolin. 

Selepas itu, lampu gasolin dipam supaya minyak tanah yang ‘ditekan’ oleh angin akan terpancut keluar melalui saluran yang membawa kepada mentol yang terletak di bahagian tengah lampu.

Cahaya berpunca dari mentol yang diperbuat dari jalinan sutera yang menerima gas dari semburan minyak tanah yang terhasil dari kuasa angin yang dipam ke dalam bekas minyak tanah di bahagian bawah lampu jenis ini.

Mentol dari benang sutera ini sebenarnya direndam terlebih dahulu dengan bahan bertoksid yang terhasil daripada nadir bumi. Bahan ini yang menjadikan cahaya yang terang.

Mentol ini yang sudah dibakar cukup sensitif. Kalau tersentuh sesuatu akan terus hancur menjadi abu.

Apabila lampu gasolin sudah menyala maka diletakkan di atasnya sejenis benda macam talam yang berlubang di tengah supaya cahaya akan terbias ke bawah dan menerangi kawasan bahagian bawah lampu gasolin.

Lampu gasolin digantung di tempat tinggi seperti kedudukan mentol lampu elektrik.

Untuk tempoh beberapa jam, kena pam semula supaya tekanan kembali tinggi. Ada meter tekanan menunjukkan baki tekanan. Jika tidak dipam, lampu mula menjadi malap. 

Untuk mematikan lampu gasolin ialah dengan melepaskan tekanan angin yang masih berbaki.

1 comment:

  1. Gasoline ialah minyak petrol. Kerosin ialah minyak tanah.

    ReplyDelete