Saturday 26 December 2020

KHASIAT UBI KEMILI

 
Ubi kemili atau juga dikenali sebagai ubi keling, merujuk kepada sejenis ubi yang kecil dan berkulit hitam. Nama saintifiknya adalah Plectranthus rotundifolius (Poiret) Sprengel. Ia merupakan jenis ubi yang boleh dimakan.

Ubi kemili turut dikenali sebagai galak tua, pokok seratus atau pecah kelambu di kalangan masyarakat Melayu manakala ‘Bai-bu’ di kalangan masyarakat Cina.

Di kalangan orang Jawa ia juga dikenali sebagai kentang jawa, kentang jembut atau kentang ireng.

Tanaman ini adalah sama famili dengan pokok bunga ati-ati yang banyak ditanam di kawasan rumah. Pokok ini dipercayai natif dan tumbuh secar liar di kawasan hutan dan kebun terutama di kawasan tanah yang baru dibuka khasnya kawasan tanah gambut.

Tanaman ubi kemili adalah sejenis pokok menjalar di atas tanah serta mempunyai akar rambut. Daunnya berwarna hujau muda dan berkerinting serta permukaan daun yang agak berbulu.

Batangnya berwarna hijau muda dan lembut. Buah ubi kemili berada di bahagian akar pokok yang terbentuk dari akar yang membengkak. Saiz buah berbeza-beza dari ukurlilit 3 - 6 cm dan mempunyai kulit yang lembut berwarna hitam. Tempoh matang ubi kemili ialah kira-kira 12 bulan.

Isinya berwarna putih jernih dan apabila dimasak akan menjadi putih. Ubi kemili mengeluarkan bau yang harum dan enak apabila di masak atau direbus.

Ubi kemili agak terkenal atau dijual di pasar-pasar di Kelantan. Ia dijual telah direbus dan siap untuk dimakan. Disebabkan kulit ubi kemili agak nipis, ia boleh dimakan tanpa dikupus kulitnya. Pun begitu, dari pemerhatian didapati kebanyakan orang makan ubi kemili setelah mengupas kulitnya.

Kajian menunjukkan bahawa ubi kemili telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional di China, Jepun dan Thailand bagi merawat penyakit pernafasan, batuk dan anti-kanser.

Selain itu, kajian farmakologi turut berjaya membuktikan bahawa ekstrak daripada spesies ini dapat menghalang pertumbuhan pelbagai jenis bakteria dan kulat selain telah digunakan sebagai racun serangga organik. 

No comments:

Post a Comment