Kekuatan akal menolak keburukan berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan. Insan beriman dikuasai oleh akal yang baik. Sesungguhnya akal yang sentiasa diasuh dengan keimanan dan budi pekerti baik tidak akan mudah terpedaya hasutan syaitan melakukan perbuatan buruk.
Malah, perbuatan baik yang sebati dalam diri menguasai diri sehingga perbuatan itu begitu mudah untuk dilakukan. Ia menjadi lambang akhlak orang mukmin.
Menurut Imam al-Ghazali: “Akhlak ialah sifat yang tertanam di dalam jiwa yang menimbulkan segala perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan fikiran dan pertimbangan.”
Sebaliknya jika fikiran dan naluri dikuasai nilai kejahatan dan sifat kebinatangan, maka tindakan yang dilakukan sudah pasti menyebabkan kesan buruk. Orang bertuhankan kepada nafsu kebinatangan tidak menggunakan kewarasan akal.
Nafsu buruk membawa manusia menempuh alam kebinasaan di dunia dan menuju ke neraka di akhirat. Orang bernafsu buruk tidak pernah merasai nikmat kehidupan sebenar. Semakin banyak yang diperolehi semakin dirasakan tidak mencukupi.
Nyata sekali kekuatan hidup manusia bergantung kepada keberkesanan akal memimpin memilih yang terbaik. Walaupun semua manusia dibekalkan dengan otak, tetapi tidak semua menggunakan akal.
Hakikatnya, di antara otak dengan akal adalah dua perkara berbeza. Otak merupakan sebahagian daripada organ yang terdapat dalam badan manusia. Otak juga terdapat pada haiwan. Otak berfungsi mengawal tugas dan sistem badan.
Manakala akal pula satu kurniaan Allah paling berharga kepada manusia. Manusia diangkat ke darjat tertinggi berbanding makhluk lain disebabkan dikurniakan akal dan nafsu sekaligus.
Malaikat hanya dibekalkan dengan akal. Sebab itu malaikat sentiasa patuh kepada Allah dan tidak terdorong melakukan sesuatu bertentangan yang dikuasai nafsu.
Sedangkan haiwan pula hanya mempunyai nafsu. Haiwan tidak dikehendaki melakukan ibadat dan tidak diberikan balasan pahala dan dosa. Allah mencipta haiwan untuk manfaat kepada manusia dan sebagai perbandingan antara keduanya.
Justeru, manusia perlu menggunakan kelebihan akal yang dikurniakan Allah. Jangan persia-siakan kelebihan akal. Sesiapa tidak menggunakan akal, lebih tepat dipanggil orang tidak berakal. Orang tidak berakal menjalani kehidupan lebih hina daripada haiwan.
No comments:
Post a Comment