Friday, 2 April 2021

BERAPA UMUR TELAH MENCAPAI BALIGH?

Berapakah usia dikatakan telah mencapai baligh? Ulama bermazhab al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf daripada ulama bermazhab Hanafi, dengan pandangan keduanya itu juga difatwakan di dalam mazhab dan al-Awza’ie menyatakan bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah bagi lelaki dan wanita (sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie).

Ia berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar yang bermaksud: “Aku menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Uhud ketika aku berusia 14 tahun dan Nabi SAW tidak mengizinkanku kerana Baginda SAW tidak menganggapku telah baligh. Aku juga menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Khandak ketika aku berusia 15 tahun dan Nabi SAW mengizinkanku kerana Baginda SAW menganggapku telah baligh.

Berkata Imam al-Syafie bahawa Nabi SAW telah menolak 17 orang daripada kalangan sahabat yang mana usia mereka pada ketika itu adalah 14 tahun kerana Baginda SAW menganggap mereka belum lagi baligh. Kemudian Baginda SAW didatangi anak-anak yang berusia 15 tahun lalu Baginda SAW membenarkan mereka. Antaranya Zaid bin Thabit, Rafi’ bin Khadij dan Ibn Umar.

Satu riwayat bermaksud: “Apabila sempurnanya umur anak itu 15 tahun maka akan ditulis apa yang dilakukannya dan apa yang dikenakan ke atasnya serta akan dikenakan hudud.” (Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir pada 106/3 dan Imam al-Baihaqi meniali riwayat ini adalah daif)

Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW bermaksud: “Diangkat pena pada 3 perkara: antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.” (Riwayat Abu Daud).

Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW bermaksud: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” (Riwayat Ahmad dan ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah dan al-Hakim daripada Aisyah. Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib)

Atau dengan mengandung dan juga dengan tumbuhnya bulu ari-ari di bawah perutnya.

Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun.

Pendapat itu berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).” (Surah al-Isra, ayat 34)

Telah berkata Ibn Abbas RA, umur 18 tahun (dalam menentukan had baligh) adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun). [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 15-17/2]

Ini dapat disimpulkan, secara umumnya mazhab al-Syafie dan Ahmad melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 15 tahun qamariyyah. Adapun, mazhab al-Maliki dan al-Hanafi melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 18 tahun.

No comments:

Post a Comment