Sebesar
mana musibah menimpa perlu dihadapi dengan tabah. Anggaplah musibah menimpa
sebagai peluang memperbaiki kehidupan. Ada sinar harapan menanti bagi orang
sabar.
Jika
tidak tertahan menanggung penderitaan, diharuskan memohon doa kepada Allah agar
segera dimatikan jika itu mendatangkan kebaikan. Namun, didahulukan doa agar
dapat meneruskan hidup. Dengan kata lain, bukan kematian diutamakan ketika
berdoa, sebaliknya kehidupan lebih baik diharapkan kepada Allah.
Perkara
ini dapat difahami daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan
sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana
menimpanya.
"Kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon
dengan berkata: "Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik
bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Musibah
diturunkan melibatkan banyak orang seperti wabak penyakit dan bencana seperti
banjir, kemarau, gempa bumi dan ribut satu ujian perlu ditanggung semua orang
berada di kawasan berkenaan. Musibah ditanggung semua orang tanpa mengira tahap
keimanan dan ketakwaan.
Dalam
hal ini, musibah itu perlu diusahakan bersama untuk mengatasinya. Mungkin ia
berpunca tindakan seseorang atau segelintir saja, tetapi kesannya ditanggung
semua. Sebab itu, sebarang tindakan buruk perlu dihalang agar tidak melibatkan
orang lain.
Namun,
jika berlaku musibah, terimalah satu dugaan bersama. Tentunya ada kebaikan di
sebalik musibah itu.
Rasulullah
SAW bersabda yang diriwayatkan Tirmizi bermaksud: “Apabila Allah mencintai
sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan
Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.”
Dalam
sabda lain Rasulullah SAW menjelaskan bermaksud: “Demi zat yang diriku ada di
tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang
mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Setiap
musibah menimpa perlu diusahakan mengatasinya. Anggapan bahawa musibah cubaan
daripada Allah dan berserah kepada takdir semata-mata satu fahaman salah. Berusaha
mengubah apa ditakdirkan Allah bukan bermakna melawan kekuasaan-Nya.
Sesungguhnya
usaha dilakukan untuk kebaikan akan mendapat balasan Allah. Muslim yang yakin kekuasaan Allah, tidak ada
apa mustahil bagi-Nya. Banyak ‘keajaiban’ Allah kurniakan kepada mereka yang
tidak mudah menyerah kalah dalam perjuangan hidup.
Firman
Allah bermaksud: “Apa saja nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan
apa saja bencana yang menimpa kamu, maka daripada (kesalahan) diri kamu
sendiri.” (Surah an-Nisa, ayat 79)
Sesungguhnya
dengan keyakinan, keimanan, ketakwaan, iltizam, istiqamah dan keinsafan dapat
menghadapi sebarang musibah menimpa diri sendiri, orang tersayang, keluarga dan
negara dengan perasaan tenang dan berserah kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment