Sunday 7 August 2022

Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau

 
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM 256 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh iaitu salah satu venue Sukan Malaysia (SUKMA) di Negeri Kelantan.

Projek Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di atas tapak seluas 160 ekar kini berada di peringkat prapelaksanaan di mana makmal pengurusan nilai (Value Management) telah diadakan pada bulan Jun 2022.

Tender bagi kompleks sukan ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut komponen-komponen kemudahan di situ dan dimulakan dengan tender bagi pembinaan stadium yang akan dikeluarkan pada penghujung Ogos 2022. Pembinaan kompleks ini dijangka bermula pada awal tahun 2023 dan akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025.

Kompleks sukan ini bakal mempunyai kemudahan seperti ruang pejabat, bilik persalinan, bilik rawatan, bilik media, bilik doping, surau dan gimnasium.

Komponen-komponen kemudahan yang ada di Kompleks Sukan Bukit Merbau adalah:
- ​Stadium Utama berkapasiti 20,000 penonton yang mengandungi padang bola sepak dan trek olahraga
- ​Arena Tertutup yang boleh memuatkan 1,000 penonton dengan gelanggang pelbagai guna;
- ​Stadium Hoki dengan astaka yang berkapasiti 500 penonton serta 2 buah padang;
- ​Pusat Skuasy dengan kapasiti 100 penonton dengan 8 gelanggang skuasy dan 1 gelanggang skuasy mudah alih;
- ​Gelanggang Lawn Bowl berbumbung dengan kapasiti 200 penonton dengan 2 gelanggang lawn bowl; dan
- ​Lapang Sasar Menembak dengan kapasiti 100 penonton dengan kemudahan Indoor Shooting - 30 meter (30 lorong), dan Outdoor Shooting 25 meter dan 50 meter (15 lorong)

Pelaksanaan pembinaan ke semua projek infrastruktur ini akan dipantau dengan rapat oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pembinaannya mengikut jadual yang ditetapkan, khususnya untuk kegunaan semasa temasya SUKMA Kelantan 2026.

Projek ini merupakan komitmen di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan kemudahan yang mengutamakan aspek gaya hidup sihat, sosial dan sukan Keluarga Malaysia di Negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment