Monday, 1 August 2022

CARA TANGKAP IKAN SEPILAI

 
Ikan sepilai sejenis ikan darat. Nama lain ialah ikan sepila atau ikan karim. Ia juga dipanggil ikan pelaga atau ikan laga. Namun, ada yang mendakwa ikan sepilai tidak sama dengan ikan laga.

Apapun namanya, tidak kira sama atau tidak, nama-nama itu merujuk kepada sejenis atau berlainan jenis, ikan yang menjadi kenangan kepada budak-budak dahulu, khususnya yang tinggal di kampung.

Kalau di Kelantan, tangkap ikan dipanggil igat ikan. Tangkap ikan sepilai dikira hobi bermusim iaitu pada musim hujan sebelum banjir besar melanda dan selepas banjir. 

Ikan sepilai hidup di baruh atau paya, selain bendang atau sawah padi. Ikan sepilai sejenis ikan laga. Jadi, bila tangkap ikan sepilai adalah untuk dijadikan jaguh laga. 

Sebab itu semasa igat ikan sepilai telah diperhatikan ciri-ciri keberanian ikan sepilai itu. Kalau yang diketahui baka tidak berlaga atau tidak bekeng, terus tidak akan diambil.

Cara tangkap ikan sepilai ialah dengan menyauk menggunakan tangan. Pencarian ikan sepilai ialah dengan melihat kawasan air tenang dan cetek. 

Ikan sepilai akan membuat 'rumah' daripada buih yang dikeluarkan dari mulutnya. Buih itu digunakan untuk meletakkan telur ikan sepilai. Kononnya, warna buih lagi karat, lagi lawa ikannya.

Sebab itu buih yang dibuat mesti di tempat air tenang untuk mengelak buih hanyut. Buih juga dibuat ke tempat ada pokok rumput atau ranting kayu kecil untuk melekatkan buih. Bawah daun juga sering terdapat buih ikan sepilai.

Buih akan dijaga oleh ikan sepilai jantan. Ikan sepilai jantan sahaja digunakan untuk tujuan pelagaan. Ikan sepilai yang menjaga buih tidak akan melarikan diri biarpun kita mendekati buih itu. Biasanya ikan sepilai akan kekal berada di bawah buih itu atau di sekitarnya.

Jadi, dengan menggunakan dua belah tangan yang digerakkan secara perlahan-lahan di dalam air menghampiri bawah buih, kita akan dapat menangkap ikan sepilai. Ikan sepilai yang ditangkap akan terus dimasukkan di dalam botol cerah yang telah dibawa. 

Satu botol biasanya dimasukkan satu ekor sahaja. Kalau dimasukkan lebih, takut nanti akan berlaga. Alamatnya rabitlah ekor dan ada sehingga terkeluar sisik. Kalau dibiarkan berterusan boleh ada yang mati.

Tentang makanan ikan sepilai jenis pemangsa. Makan haiwan kecil seperti jentik-jentik, cacing kecil, semut, telur kerengga dan sebagainya.

Satu keunikan ikan sepilai ni ialah dia jenis anabantoids, yakni jenis yang boleh bernafas melalui organ unik dipanggil labyrinth. Kelebihan itu membolehkan ikan sepilai hidup di kawasan air kurang oksigen seperti kawasan paya yang mempunyai banyak rumput reput dan air yang telah bertukar sedikit masam.

 


No comments:

Post a Comment