Wednesday, 10 August 2022

HORMATI MARUAH DIRI ORANG LAIN

 
Maruah diri adalah perkara berharga bagi seseorang Muslim. Maruah menjadi lambang kemuliaan seseorang. Maruah ialah nilai-nilai kebaikan atau kemuliaan diri atau kehormatan diri. Maka itu, jangan melakukan perkara atau perbuatan menjatuhkan maruah seseorang biarpun dia miskin dan tidak berkedudukan.

Firman Allah SWT: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia,” (Surah Hud, ayat 118).

Allah mendidik manusia untuk belajar membina realiti kehidupan melalui perbezaan dan perkongsian dalam satu matlamat yang jelas, iaitu tatacara kehidupan sejahtera dan harmoni. Inilah yang perlu difahami dalam kerangka menghormati perbezaan pandangan.

Hak memberi pendapat dan melakukan apa difikirkan baik untuknya perlu dihormati, melainkan ia dalam perkara yang jelas bertentangan dengan kehendak agama dan tatasusila kemanusian.

Sesungguhnya, perbezaan membawa kepada kebaikan kerana jika semua manusia hidup dalam satu pendapat serta cara hidup, ia akan menjadi membosankan. Tiada warna-warna kehidupan sehingga ia kelihatan semuanya sama.

Dalam hal ini, jika ada pendapat yang perlu 'dibantah', lakukan dengan penuh berhemah. Hati manusia akan condong kepada orang yang bersikap lemah-lembut kepadanya. Ini bukan bermakna tiada ketegasan dalam dakwah, namun ada perbezaan antara kasar dan tegas.

Rasulullah SAW bersabda kepada Aishah: “Duhai Aishah! Zahirkanlah kelembutan kerana jika kelembutan ditemui dalam apa jua hal, ia akan mengindahkannya dan apabila ia dikeluarkan daripada sesuatu, ia akan merosakkannya,” (Riwayat Abu Daud, no. 4,808).

Meninggikan suara dan 'guna kuasa' bukan membuatkan pendapat kita terus diterima. Bahkan mungkin juga sikap tersebut menyebabkan orang lagi meluat dan membenci. Justeru, berbicaralah dengan lembut dan menghormati orang lain kerana dengan cara itu orang juga akan menghormati kita. Kalau kita ingin dihormati, mulakan diri menghormati orang lain.

No comments:

Post a Comment