Friday, 18 August 2023

HENTIAN PUNCAK TITIWANGSA

 
Pengguna Jalan Raya Timur-Barat dari Perak ke Kelantan pasti pernah melalui Hentian Puncak Titiwangsa. Ia adalah hentian rehat yang terletak di tanah tinggi Banjaran Titiwangsa. Sebab itu ia dikenali Hentian Punca Titiwangsa. 
 
Hentian ini asalnya hanya kawasan lapang yang berada di tepi lebuh raya tersebut. Pada sekitar tahun 1995 ia menjadi tempat hentian tanpa ada apa-apa kemudahan. Ketika itu hanya ada kawasan kosong boleh diletakkan beberapa buah kenderaan.
 
Dari masa ke semasa, ia semakin mendapat perhatian dan bermula dari situ ada pihak membina kemudahan asas sehinggalah sekarang menjadi hentian pilihan pengguna jalan raya tersebut.
 
Hentian ini popular kerana pemandangan menarik yang boleh dilihat terutama apabila cuaca cerah. Selain itu, inilah satu-satunya hentian rehat yang selesa boleh disinggah sebelum tiba ke pekan terhampir Jeli atau Grik.
 
Suasana di sini memang menarik seperti yang diperkatakan. Cuaca sejuk dan nyaman. Udara segar berhembus lembut. Agak ramai yang singgah untuk berehat, ke tandas, makan-minum di medan selera dan bersantai menikmati pemandangan yang cantik.
 
Hentian Puncak Titiwangsa atau juga dikenali Hentian Amiza Titiwangsa terletak di dalam negeri Perak. Ia terletak di tengah-tengah antara Grik, Perak dan Jeli, Kelantan. Jika dari Grik, anda akan bertemu Tasik Temenggor terlebih dahulu. Dari situ, perjalanan mendaki lebih-kurang 30 kilometer sebelum tiba di hentian ini. Jika dari Jeli, jaraknya kira-kira 50 kilometer.
 
Keindahan pemandangan yang boleh dinikmati di Hentian Titiwangsa ini cukup mengagumkan. Walaupun ia bukan satu destinasi yang harus dituju, tetapi kedudukannya di laluan utama yang menghubungkan pantai timur dengan utara Semenanjung Malaysia, ia wajar diwar-warkan kepada semua.
 
Apa yang paling menarik di sini ialah keindahan bukit-bukau yang saujana mata memandang. Pemandangan hutan semula jadi yang menghijau bertemu kaki langit cukup mengagumkan. Jika bernasib baik, anda dapat melihat kabus memutih di celah bukit dan lakaran awan berbagai corak menghiasi langit menambahkan lagi kecantikan yang ada. Ia benar-benar mendamaikan.
 
Selain itu, hentian ini juga dihiasi taman bunga dan lanskap menarik. Pokok-pokok bunga berwarna-warni ditanam di sekeliling kawasan dan dijaga dengan baik. Suasana yang sejuk dengan udara yang nyaman membuatkan anda seolah-olah berada di taman bunga di luar negara.
 
Antara kemudahan yang disediakan ialah medan selera, tandas, surau, tempat rehat dan sudut bergambar.

Baca juga;



No comments:

Post a Comment