Friday, 17 November 2023

KEHEBATAN KOTA LARANGAN BEIJING

 
Kehebatan Kota Larangan Beijing. Dikenali sebagai Forbidden City Beijing merupakan kompleks bangunan zaman purba yang paling besar dan dipelihara paling baik di dunia. Ia mempunyai nilai sejarah amat tinggi ini terkenal bukan sahaja di China, malah di seluruh dunia.

Kehebatannya dilihat pada saiznya yang besar, gaya binaannya yang indah, bangunannya yang tersergam megah dan mewah. Kota ini disenaraikan sebagai Warisan Budaya Dunia oleh UNESCO pada tahun 1988.

Kota Larangan Beijing yang terletak di pusat bandar raya Beijing ini dibina atas titah perintah Maharaja Zhu Di, maharaja zaman Dinasti Ming pada tahun 1406. Pembinaan kota ini mengambil masa 14 tahun. 

Dua puluh empat orang maharaja zaman Dinasti  Ming dan Qing pernah bersemayam dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara di sana selama kira-kira 500 tahun, sehinggalah Dinasti Qing digulingkan pada tahun 1911.

Kota Larangan Beijing terletak dalam kawasan seluas lebih 720 ribu meter persegi dan dikelilingi oleh tembok yang tingginya 10 meter dan parit perlindungan selebar lebih 50 meter. 

Reka bentuk bangunan, saiz, susunan, bentuk, hiasan dan kemudahan yang terdapat di Kota Larangan Beijing dibina menurut sistem kesusilaan, etika dan hierarki pangkat dinasti feudal yang ketat dan menggambarkan kuasa maharaja adalah yang maha tinggi.

Para pengunjung mesti melawat tiga dewan utama yang besar di Kota Larangan ini, iaitu Dewan Taihe, Dewan Zhonghe dan Dewan Baohe yang merupakan bangunan yang paling menarik. Kesemua dewan besar ini merupakan tempat maharaja menjalankan urusan pentadbiran dan mengadakan upacara-upacara yang penting.

Ketiga-tiga dewan besar ini terletak tepat di garis tengah dari utara ke selatan bandar Beijing. Dewan Taihe yang tingginya kira-kira 40 meter merupakan bangunan yang paling besar dan tinggi di Kota Larangan Beijing ini. 

Di dalam dewan itu terdapat takhta persemayaman maharaja yang disadur dengan emas dan 13 ribu buah naga pahatan, iaitu lambang maharaja. Dataran di hadapan dewan ini luasnya 30 ribu meter persegi.

Terdapat 9999.5 buah dewan dan rumah di Kota Larangan Beijing. Menurut kepercayaan golongan maharaja pada zaman purba China, maharaja merupakan putera Maharaja di Langit yang menentukan segala sesuatu di dunia.

Istana Diraja di Langit mempunyai 10 ribu buah dewan dan rumah. Istana diraja di dunia tidak boleh melampaui bilangan itu. Maka jumlah dewan dan rumah di Kota Larangan Beijing ditetapkan sebanyak 9999.5 buah.

Ada perbandingan menarik tentang jumlah ini bagi menunjukkan betapa besarnya kompleks bangunan Kota Larangan ini. Seandainya seorang bayi yang baru dilahirkan tidur semalam sahaja di setiap dewan atau rumah di Kota Larangan Beijing ini, dia akan berusia 27 tahun, apabila berjaya tidur di semua dewan dan rumah ini.



No comments:

Post a Comment