Mencari pemimpin kuat. Dengan kepimpinan
yang kuat, ia akan membantu organisasi untuk bergerak ke hadapan. Pemimpin yang
kuat ialah mereka yang mendapat sokongan akar umbi. Maknanya mereka mendapat
sokongan dalam apa juga keadaan.
Sememangnya sokongan akar umbi adalah penting
kerana ia menjadi tunjang kekuatan bagi seseorang pemimpin itu. Tetapi untuk
mendapat sokongan akar umbi bukanlah mudah.
Pemimpin itu perlu benar-benar berjiwa
rakyat dan sentiasa mementingkan suara akar umbi, biarpun apa juga jawatan yang
disandangnya.
Apabila berada pada kedudukan yang tinggi
dalam organisasi, seseorang pemimpin itu sudah merasakan dia sudah kuat
sehingga suara-suara akar umbi tidak dipedulikan. Lebih malang, langkah atau
tindakan yang dilakukan lebih banyak didorong oleh nasihat atau cadangan orang
sekeliling dan bukannya mendengar apa kata akar umbi.
Kesudahannya ahli menjadi bosan dan mereka
menghukum pemimpin itu dalam pemilihan dan apabila itu berlaku barulah, kita
hendak bercakap soal mendengar suara akar umbi.
Ahli-ahli akar umbi ini harus dibenarkan
untuk meluahkan apa sahaja perasaan demi kebaikan organisasi kerana mereka juga
turut berasa malu dengan apa yang terjadi.
Sindrom tidak boleh bercakap atau tidak
dibenarkan bercakap harus dihapuskan. Dalam usaha mewujudkan kepimpinan yang
kuat memerlukan ketelusan yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan
retorik. Melalui pendekatan bersikap terbuka untuk mendengar luahan di
peringkat akar umbi, ia sudah pasti akan membantu memperbaiki
kelemahan.
Pemimpin-pemimpin tidak harus cuba
menyembunyikan fakta. Kalau kepimpinan yang kuat itu hendak diwujudkan,
tindakan mendengar keluhan rakyat di peringkat bawah adalah penting.
Negara perlu berusaha untuk mewujudkan
barisan kepimpinan yang kuat ketika sedang berhadapan dengan cabaran yang
getir. Jika negara terus memiliki barisan kepimpinan yang lemah dan dilihat
tidak mempunyai cengkaman bagi mengawal apa juga situasi, negara akan diancam bahaya.
Pemimpin harus berani dan kuat untuk
berhadapan dengan situasi itu. Jangan sampai dilihat terus lemah sehingga ada
pihak lain mengambil kesempatan.
Pemimpin yang dipilih perlu berdasarkan
kepada rekod perkhidmatan dan pengalaman. Jika pemimpin dipilih menggunakan
laluan ekspres ia bermakna pemimpin itu tidaklah sekuat mana. Pemimpin yang dipilih
biarlah pemimpin yang menggunakan 'tiket henti-henti', maknanya bermula dari
bawah dan sudah benar-benar sebati dengan hati nurani rakyat di peringkat
bawah.
Begitu juga jika memilih pemimpin yang
dilihat proksi kepada mana-mana pemimpin. Ini juga boleh membawa kehancuran
kepada negara. Apa yang penting kena pilih pemimpin yang memahami sentimen
rakyat.
Mereka tidak harus menganggap seseorang
pemimpin itu kuat hanya semata-mata kerana dia mempunyai hubungan atau berada
dalam satu kem dengan pemimpin tertentu.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment