Membuat ketupat palas tiga bucu.
Proses membuat ketupat palas bermula dengan penyediaan daun
palas. Daun palas yang digunakan ialah yang masih mudah atau belum kembang. Warna
daun palas muda seakan kuning muda dan lembu. Daun palas yang telah kembang dan
keras berwarna hijau tua.
Daun palas muda yang baru diambil dari pokok biasanya
dibiarkan beberapa hari agar layu. Ini memudahkan untuk proses membuka.
Pada masa dahulu, daun palas yang dibuka akan dilipat atau
digulung, kemudian diselitkan di antara dua lubang lantai rumah seketika
bertujuan untuk daun palas ‘kekal’ terbuka. Daun palas itu kemudian akan dibuat
kelongsong ketupat tanpa diisikan pulut lagi.
Proses membuka dan membuat kelongsong itu biasanya dilakukan
beberapa hari sebelum hari hendak membuat ketupat. Ini terutamanya ketika
sambutan hari raya yang mana jumlah ketupat yang ingin dibuat adalah banyak.
Beras pulut yang ingin dimasak, biasanya secara kukus, perlu
direndam terlebih dahulu agar menjadikan lembut. Pulut yang telah masak akan
dimasukkan ke dalam bekas untuk proses menggaul atau ‘mengarung’.
Proses seterusnya inilah akan menentukan jenis rasa ketupat
yang ingin dibuat. Jika ingin ketupat manis dan lemak, maka gula dan santan
akan dicampurkan. Ada yang masukkan santan sahaja tanpa gula. Manakala ada yang
guna gula sahaja.
Ada yang akan mencampurkan dengan jagung rebus dan setengah menggunakan jenis
kacang. Setengah tu ada yang masukkan juga sambal daging. Dengan kata lain,
macam-macam boleh dicampur semasa proses mengarung ini.
Proses mengarung menggunakan sudip kayu besar kerana pulut
dalam keadaan melekit. Perlu menggunakan kekuatan kedua-dua tangan.
Selepas digaul, ada dua pilihan. Sama ada ingin dikukus
sekali lagi atau terus dimasukkan ke dalam sarung ketupat. Pulut dikukus sekali
lagi biasanya untuk lebih sebati dan padat. Ketupat yang masak nanti akan lebih
padat dan lemak berminyak.
Semasa proses memasukkan ke dalam sarung palas, pulut perlu
ditekan padat dan mengisi seluruh bucu sarung ketupat. Ketika itu, kalau bahan
tambahan tidak digaul bersama, contohnya sambal daging, ketika itulah ia akan
dimasukkan di bahagian tengah.
Proses mengisi pulut dalam sarung palas agar mengguna tenaga
kerana ingin menekan pulut menjadi padat dan kemudian membuat simpulan ikatan
yang kemas. Ada teknik simpulan dan cara tarik agar simpulan betul-betul kemas.
Ikatan dan balutan ketupat palas yang kemas dan tidak kemas
dapat dibezakan jantan dan betina. Ketupat palas jantan mempunyai isi
atau pulut lebih di bahagian akhir balutan, serta ikatan dan balutannya yang
kemas.
Manakala, ketupat palas betina, saiznya kecil dan tidak mempunyai isi atau
pulut lebih di bahagian ikatan atau balutan, serta tidak mempunyai ikatan dan
balutan yang kemas. Nama itu menggambarkan yang jantan itu dilakukan dengan
‘tenaga’ lebih berbanding betina.
Pulut yang telah dimasukkan ke dalam sarung palas akan
dimasak sekali lagi sama ada dikukus atau direbus.
Dahulu, ketupat daun palas hanya boleh dimakan pada musim
perayaan. Tetapi sekarang ini ia sudah mejadi produk kuih harian yang dibuat
dan dijual.
Malah, terdapat ketupat palas sejuk beku yang dijual secara
dalam talian. Mudah dimasak dan rasa aslinya kekal dapat dinikmati.
Dapatkan ketupat palas sejuk beku di Shopee.
.jpg)
No comments:
Post a Comment