Mengapa monyet suka mencuri makanan.
Monyet mencuri makanan adalah tingkah laku yang semula jadi.
Bukan kerana terdesak ketiadaan makanan atau rasa lapar teramat.
Sifat semula jadi itu adalah antara ciri "kecerdikan"
atau "kepintaran" monyet.
Jadi, tingkah laku ini bukan semata-mata "nakal",
tetapi didorong oleh rasa ingin tahu yang tinggi, kepintaran mencari sumber
tenaga, dan kebolehan menyesuaikan diri.
Mencuri makanan adalah cara mudah mendapat habuan: Apabila
monyet menyedari makanan manusia mudah dicuri atau dirampas berdasarkan naluri
dan kebiasaan yang telah dilakukan, maka monyet akan terus mengulanginya
sehingga menjadi satu kebiasaan.
Monyet dianggap binatang pintar. Jadi, sebelum pergi mencuri
atau merampas, akan diperhatikan keadaan sekeliling.
Monyet akan duduk "santai" sambil memerhati dan jika
ada peluang disebabkan tidak ada manusia di kawasan tersebut, lalai atau tidak mengawasi,
ketika itulah monyet akan bertindak mencuri atau mencari makanan di kawasan
berkenaan.
Ketika manusia membawa makanan dan tidak berhati-hati,
monyet akan merampas dengan pantas dan membawa lari.
Jika monyet merampas atau meragut makanan, jangan lawan atau
cuba rampas kembali. Lepaskan sahaja makanan atau bekas tersebut, melainkan
jika benar-benar perlu merampas kembali atau mempertahankan daripada dirampas
oleh monyet.
Bertindak balas terhadap tindakan monyet boleh menyebabkan
haiwan itu berasa terancam, sekali gus meningkatkan risiko dicakar atau
digigit.
Jika melalui kawasan atau tempat banyak monyet yang agresif,
simpan makanan dengan kemas. Jangan dedahkan bahawa bekas itu ada makanan.
Jika monyet menghampiri, kekal tenang dan undur secara
perlahan-lahan tanpa mencetuskan provokasi.

No comments:
Post a Comment