Sunday, 20 October 2019

ELAK BUDAYA PERPECAHAN


Allah SWT telah menurunkan Islam kepada seluruh manusia dalam keadaan sempurna dan lengkap untuk diamalkan sepanjang zaman. Tidak ada kecacatan pada ajaran Islam yang membimbing manusia ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.    

Firman Allah SWT bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamumu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Aku reda Islam sebagai agama bagi kamu." (Surah al-Maidah, ayat 3)

Ironinya, umat Islam sekarang dalam keadaan lemah dan ketinggalan berbanding penganut agama lain di seluruh dunia. Rakyat di negara Islam hidup dalam keadaan kemiskinan, mundur dalam aspek kemajuan terkini, perang saudara dan perpecahan sesama sendiri. Senarai negara yang berada dalam keadaan bergelolak dan perang saudara majoritinya terdiri di kalangan negara Islam. 

Kesempatan ini digunakan bukan Islam untuk memomokkan ajaran Islam dengan tuduhan bahwa agama Islam menolak kemajuan, mengamalkan diskriminasi jantina, menyekat kebebasan individu dan mengajar keganasan. Gambaran Islam di mata bukan Islam amat buruk. 

Hakikatnya, apa yang berlaku itu bukan disebabkan ajaran Islam. Sebagai penganut Islam kita perlu yakin bahawa ajaran Islam itu sempuna dan terbaik. 

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya ‘Aina al-Khalal’ (Di Mana Kepincangan), menegaskan bahawa sebenarnya umat Islam bukan lemah, tetapi kurang kesedaran, lupa diri, tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi, tidak berdikari (banyak bergantung kepada Barat), daya fikiran yang kerdil, sempit dan beku (jumud), budaya taqlid yang merugikan, kekuatan rohani yang pudar, tandus ilmu, bankrap idea, muflis akhlak, jalinan persaudaraan sesama umat Islam yang lemah, kerja yang tidak berkualiti dan kurang produktif, serta membiarkan sahaja sumber ekonomi dieksplotasi oleh musuh-musuh Islam.

Imej tidak baik yang terjadi terhadap umat Islam perlu diubah segera. Usaha untuk menampilkan imej baik Islam perlu dilakukan oleh setiap muslim dan seterusnya mengubah keseluruhan ummah. Allah SWT tidak akan mengubah nasib umat Islam tanpa dilakukan oleh umat Islam sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad, ayat 11)

Sebenarnya setiap usaha untuk kebaikan memberi manfaat kepada diri pelakunya sendiri, selain turut memberi kesan positif kepada keluarga, masyarakat dan agama keseluruahnnya. 

Amalan kebaikan itu bukan setakat memberi kebaikan untuk kehidupan di dunia, bahkan turut menyediakan bekalan pahala untuk kehidupan di akhirat.

No comments:

Post a Comment