Kebanyakan rakyat Malaysia yang kaya atau
berkemampuan menunaikan ibadat haji melebihi daripada sekali, selain
berulang-ulang kali menunaikan ibadat umrah.
Ibadat haji seringkali dikatakan
sebagai panggilan atau jemputan untuk mengunjungi rumah Allah SWT. Ia juga dikenali perjalanan
memenuhi panggilan Nabi Ibrahim.
Allah SWT memerintahkan Ibrahim dan puteranya,
Ismail, membangunkan kembali Kaabah. Setelah mereka membersihkan tempat ibadat
itu, Allah memerintahkan pula Ibrahim untuk menyeru manusia agar mengerjakan
haji.
Kewajipan menunaikan ibadat haji
adalah berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT bermaksud: “Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi
Baitullah (Kaabah), iaitu mereka yang sanggup pergi ke sana.” (Surah Ali Imran,
ayat 97).
Firman Allah dalam surah al-Baqarah
ayat 196 yang bermaksud: “Sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”
Kewajipan mengerjakan ibadat haji
juga berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan dijelaskan melalui
sabda baginda.
Hadis diriwayatkan oleh Muslim yang
bermaksud: “Islam dibina di atas lima perkara, iaitu mengakui tiada Tuhan yang
sebenarnya mesti disembah selain Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu
pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, mengerjakan haji ke Baitullah,
dan berpuasa pada bulan Ramadan.”

No comments:
Post a Comment