Friday 25 October 2019

MISTERI SEJARAH ISTANA NILAM PURI

Di Kelantan terdapat banyak istana lama seperti Istana Balai Besar, Istana Jahar, Istana Batu, Istana Kota Lama, Istana Mahkota dan Istana Bukit Tanah. 

Satu lagi istana yang jarang dikenali ialah Istana Nilam Puri. Istana Nilam Puri pernah menjadi rumah rehat Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan pada tahun 1920 sehingga 1944.

Maksud ‘nilam’ ialah batu permata berwana biru. Manakala perkata ‘puri’ bermaksud istana. Jadi, nilam puri adalah istana yang dibuat menggunakan batu permata biru.

Namun, penjelasan sebenar tentang pembinaan Istana Nilam Puri secara bertulis tidak ada catatan diperoleh mengenainya. Begitu juga dengan asal penamaan Istana Nilam Puri.

Apa yang ada hanyalah cerita-cerita lisan daripada penduduk kampung atau individu yang pernah memasuki kawasan istana yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Kota Bharu itu, turut dikaitakan dengan cerita misteri.

Perkataan ‘puri’ dikatakan asalnya daripada perkataan ‘pari’ atau ‘pari-pari’ yang dikatakan ‘hantu pari’ iaitu hantu berupa perempuan cantik.

Bahagian belakang Istana Nilam Puri terdapat sebatang sungai yang menjadi tempat bersiram atau mandi kerabat raja. Ada tangga batu dibina untuk menuruni ke sungai. Sungai tersebut kini dikenali Sungai Pengkalan Datu.

Sungai Pengkalan Datu mengalir melalui beberapa pekan sehinggalah ke Laut China Selatan yang mana muaranya adalah di Pantai Senok.

Bangunan istana lama itu telah diwakafkan oleh Sultan Yahya Petra untuk pengajian tinggi Islam. 

Pada mulanya ia digunakan oleh Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK). Kemudian, telah diambil alih oleh Universiti Malaya (UM) pada tahun 1981 untuk dijadikan kampus cawangan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, iaitu pusat pengajian Asasi Pengajian Islam.

Pemilik terkini kawasan tersebut (termasuk istana lama) ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) setelah diserahkan oleh kerajaan negeri daripada pemilikan asal Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Bangunan Istana Nilam Puri telah diwartakan sebagai bangunan warisan dan diletakkan di bawah Arkib Negara Malaysia. Ubah suai struktur asal tidak dibenarkan.


No comments:

Post a Comment