Amalan
memakai serban dan jubah di kalangan orang Arab bermula sejak sebelum
kedatangan Islam. Manakala sekarang ini, orang Kristian dan Yahudi di
negara-negara Arab juga berjubah dan berserban. Malah, memakai kopiah adalah
identiti orang Yahudi di sesetengh tempat.
Isu
ini tidak seharusnya dilihat secara begitu ‘simplstik’. Jika kita ingin
mendapat kebaikan dan mengelak keburukan, sekecil mana sekalipun isu, perkara
ini perlu diperjelaskan kepada umum untuk mengelak ada pihak mengambil
kesempatan atas kejahilan orang ramai.
Perkara
yang dikaitkan dengan agama seringkali diguna pihak tidak bertanggungjawab
untuk kepentingan diri. Taraf orang alim di dalam masyarakat amat tinggi dan
dihormati. Jadi, pakaian yang melambangkan alim sering dipakai oleh individu
yang tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan orang ramai.
Masyarakat
kita mudah percaya kepada individu yang berpakaian nampak alim, macam pak haji
(mak haji), dan tok guru. Keadaan inilah diambil kesempatan oleh sesetengah
individu untuk menipu.
Banyak
kes penipuan dilakukan oleh individu yang menjadikan pakaian sebagai cara untuk
memperdaya orang ramai. Lelaki berjubah, berkopiah atau berserban, manakala wanita
pula memakai telekung labuh.
Banyak
orang yang sedang dibicarakan di mahkamah memakai kopiah. Apakah tujuan
sebenarnya? Adakah mereka ingin menunjukkan bahawa mereka sebenarnya alim dan
tidak melakukan kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya?
Perbuatan
itu ada lojiknya. Sebabnya, kebanyakan kita mudah merasa kesihan kepada mereka
yang menampilkan pakaian berbentuk orang alim. Tambah lagi apabila menunjukkan
wajah memohon simpati.
Kita
bukan bermaksud memperkecil-kecilkan mereka yang berjubah, berkopiah atau
berserban. Tetapi, apa yang ingin ditekankan di sini ialah jangan mudah percaya
kepada seseorang hanya berdasarkan kepada apa yang dipakainya. Sesiapa sahaja
boleh berpakaian menunjukkan watak alim, sedangkan tidak membuktikan apa yang
sebenarnya.
Selain
itu, perlu dijelaskan di sini, tidak terdapat di dalam al-Quran maupun hadis
yang menyebut mengenai reka bentuk dan jenis pakaian yang dianggap simbol
pakaian Islam. Apa yang dijelaskan hanyalah mengenai keperluan menutup aurat,
terutama sekali bagi wanita.
Ijmak
ulama telah sepakat mengatakan pakaian orang Islam tidak semestinya kopiah,
serban dan jubah. Kita bebas memilih fesyen mana yang dikehendaki. Setiap orang mempunyai citarasa yang
berlainan.
Dalam
hal berkaitan menutup aurat, ada ayat al-Quran yang mengaitkan cara berpakaian
menunjukkan kaitan dengan iman dan takwa kerana perbuatan itu secara langsung
membuktikan diri seseorang mematuhi perintah Allah.
Pun
begitu, tidak dijelaskan fesyen apa yang perlu dipakai oleh orang Islam. Selagi
pakaian itu menenuhi konsep menutup aurat, maka itulah yang dibenarkan
syariat.
Maksud
menutup aurat bukan sekadar menutup bahagian badan, tetapi juga tidak
menonjolkan bentuk tubuh, yakni pakaian yang terlalu ketat atau dari jenis kain
tertentu yang menampakkan bentuk tubuh pemakainya.
Wajar
kita memakai jubah, serban dan berkopiah dengan niat mengikut sunnah
Rasulullah. Perbuatan itu sebahagian tanda kita kasih kepada Rasulullah.
Tetapi,
sesiapa memakai jubah, serban dan kopiah dengan niat bermegah dan menunjukkan
diri lebih alim, perbuatan itu ditegah dalam Islam yang termasuk dosa.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Amalan melabuhkan itu berlaku pada kain, baju (jubah)
dan serban. Sesiapa yang meleretkan salah satunya kerana bermegah, Allah tidak
melihat kepadanya pada hari Kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai).
Kita
digalakkan memakai pakaian yang menyenangkan perasaan, sesuai dengan cuaca,
memudahkan urusan harian, selamat dan selesa, selain tujuan menutup aurat. Itulah
tujuan sebenar berpakaian.
Firman
Allah bermaksud: “Hai anak Adam!
Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan
pakaian untuk perhiasan.” (Surah al-Akraf, ayat 26).
No comments:
Post a Comment