Friday, 6 December 2019

NEGERI ADA SULTAN TIDAK DIJAJAH INGGERIS


Semenanjung Melayu mengunjur sepanjang 842 batu atau 1, 355 km dari Segenting Kra di Thailand ke titik paling selatan di benua Asia di Tanjung Piai, Malaysia.

Banyak ketamadunan Melayu muncul di sepanjang semenanjung yang membentuk halangan daratan semulajadi di antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan ini.

Langkasuka, Srivijaya dan Melaka antaranya adalah kuasa politik ketamadunan Melayu yang banyak meninggalkan kesan terhadap struktur sosio-politik di Semenanjung Melayu.

Setelah kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis, Semenanjung Melayu ditadbir oleh beberapa kerajaan-kerajaan Melayu kesinambungan Kesultanan Melaka.

Pihak Portugis hanya bertumpu di Kota Melaka, tidak berupaya untuk mengembangkan pengaruh mereka ke seluruh Semenanjung.

Kesultanan Melayu Pattani pernah mempunyai wilayah yang luas merangkumi beberapa wilayah moden di dalam Thailand termasuk Satun, Trang, Yala, Pattani dan Narathiwat.

Pattani mempunyai hubungan yang rapat dengan Siam dan mengirim bunga mas ke Istana Raja Siam dalam bentuk bunga mas yang Siam anggap sebagai simbol pertuanan mereka ke atas kerajaan Melayu ini.

Selain Pattani, kerajaan-kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu juga turut mengirim bunga mas kepada kerajaan Siam.

Walaupun Siam menganggap amalan ini sebagai simbol kekuasaan mereka, negeri-negeri Melayu ini melihatnya sebagai suatu pertalian persahabatan.

Sebagai contoh, seperti yang tercatat di dalam buku Historical Dictionaries of Asia, Oceania and the Middle East yang diedit oleh Jon Woronoff, Terengganu mengirim bunga mas kepada Siam sebagai balasan kepada Raja Siam yang terlebih dahulu menghadiahi kerajaan Terengganu dengan pelbagai pemberian berharga.

Kedah juga berpendapat bahawa amalan ini hanya sekadar isyarat persahabatan di antara kedua-dua negara.

Kedah adalah salah satu kesultanan yang paling tua di dunia yang diasaskan pada tahun 1136.

Sebelum menjadi sebahagian daripada Malaysia, Kedah telahpun mempunyai wilayah berpenduduk yang ditadbir oleh kerajaan yang berfungsi penuh serta telahpun menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain seperti Siam dan kerajaan British.

Siam seringkali menganggap Kedah sebagai sebahagian dari wilayah negaranya.

Pertamanya, sekiranya ini adalah apa yang didakwa, pihak British tidak akan membuat perjanjian dengan Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan seterusnya Seberang Prai pada tahun 1798.

Keduanya, jika Kedah adalah milik Siam, pihak Siam sudah pasti akan memaksa pegawai British untuk membuat perjanjian serahan ini (penyerahan Pulau Pinang dan Seberang Prai) dengan mereka dan bukannya dengan Sultan Kedah. 

Undang-undang antarabangsa mengesahkan hanya negara berdaulat berhak menandatangani perjanjian antarabangsa.

Undang-undang antarabangsa ada menetapkan bahawa sesebuah entiti politik itu boleh diiktiraf sebagai sebuah negara apabila ianya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Ini termasuk mempunyai wilayah yang berpenduduk, memiliki kerajaan yang berfungsi dan kapasiti untuk menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain.

Lagipula, setelah tamat Perang Dunia kedua, kerajaan British telah menugaskan Sir Harold Mac Michael untuk mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu dari Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menyerahkan kedaulatan mereka bagi memudahkan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946.

Sekiranya sultan-sultan ini tidak berdaulat, kenapa perlu pihak British untuk mendapatkan persetujuan mereka?

Perak negeri Melayu terawal menerima kemasukan pengaruh politik British. British mengambil kesempatan daripada perebutan takhta kerajaan Perak iaitu pertingkahan antara Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah serta pergaduhan kongsi gelap Cina Ghee Hin dan Hai San (Perang Larut).

Mengambil keadaan itu, terlaksanan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 antara Kerajaan British dengan kerajaan Perak. Sistem residen pertama wujud di Perak 1875. Di mana J.W.W Birch dilantik menjadi Residen pertama di Perak.

Jawatan Residen bukan sebagai ketua atau penguasa, sebaliknya hanya sebagai penasihat kerajaan kerajaan Perak. Hak kuasa pemerintahan masih di tangan Sultan dan pembesar-pembesar negeri.

Fakta-fakta ini membuktikan secara langsung dan tidak langsung bahawa kerajaan-kerajaan Melayu ini adalah kerajaan yang berdaulat.

Keadaan ini berterusan sehingga negara diserang oleh Jepun pada 1941. Pada zaman pemerintahan Jepun adalah era Perang Dunia Kedua.

Ketika peperangan masih berlarutan, sebenarnya tiada kuasa boleh mengaku telah menjajah atau menguasai sesebuah negara secara mutlak.

Malah, Jepun sendiri mengaku menyerang negara di Asia Tenggar bukan untuk menjajah, tetapi membebaskan dari genggaman kuasa dari Barat dengan slogan Asia Untuk Asia.

No comments:

Post a Comment