Friday, 20 November 2020

CARA DIDIK ANAK SUKA BERCUCUK TANAM

Remaja zaman sekarang terlalu leka dengan gajet sehinggakan ada sesetengah mereka yang tidak keluar rumah kerana sibuk dengan bermain permainan pada gajet tersebut. Tambahan pula ibu bapa sering sibuk dengan pekerjaan mereka.

Sebenarnya keadaan itu berlaku kerana ibu bapa terlalu memberi kebebasan kepada anak untuk melakukan apa sahaja asalkan tidak mengganggu urusan mereka.

Salah satu aktiviti perlu ditanam dalam diri anak-anak ialah minat kepada aktiviti bercucuk tanam, terutama mereka yang tinggal di kawasan kampung atau mempunyai tanah lapang untuk aktiviti tersebut.

Untuk menanam minat berkebun kepada remaja, tentu sekali ia perlu dimulai oleh ibu bapa sendiri. Minat ibu bapa itu perlu diperturunkan pula kepada anak-anak.

Namun, malang sekali apabila ibu bapa yang ada kebun atau aktif berkebun tidak pula ingin mengajak anak mereka turut gemar berkebun dengan alasan aktiviti tersebut tidak sesuai dilakukan anak mereka yang lebih berminat kepada aktiviti yang melibatkan elektronik atau gajet.

Kalau begitu hujahnya, pada siapa harus dipersalahkan jika anak-anak lebih suka kepada gajet dan menolak untuk mengikuti atau melakukan aktiviti lain?

Secara asasnya, berkebun merupakan aktiviti yang sangat berguna untuk anak-anak, terutama peringkat usia remaja. Pun begitu, minat berkebun boleh diterapkan sejak usia kanak-kanak lagi dengan membawa mereka turut melakukan aktiviti berkebun mengikut kemampuan mereka. 

Minat terhadap sesuatu perkara perlu ditanam sejak usia kanak-kanak lagi kerana mereka cepat belajar melalui aktiviti yang mereka lakukan.

Salah satu kebaikan berkebun ialah mendidik anak-anak kepada aktiviti menghasilkan sesuatu biarpun mengambil masa lama. 

Memang, jika menyemai benih dan menanam sejenis pokok, hasilnya tidak diperoleh dalam masa singkat. Perlu mengambil masa lama mengikut jenis tanaman. Ada jenis pokok yang ditanam mengambil masa sehingga bertahun-tahun baharu mengeluarkan hasil.

Amalan tersebut membentuk nilai sabar dalam diri anak. Apa yang dilakukan tidak membuah hasil serta merta. Mengambil masa yang lama untuk menuai hasilnya.

Begitulah kehidupan mereka dilakui sehari-hari. Mereka belajar atau bersekolah bukan sehari dua untuk pandai. Hasil belajar di sekolah hanya akan dirasai apabila dewasa nanti.

Untuk mendapat hasil yang baik dari tanaman perlulah kepada penjagaan. Perlu diisiram dan dibajai mengikut masa diperlukan.

Inilah realiti kehidupan bahawa apa sahaja yang dilakuan perlu ada tindakan susulan bagi mendapat hasil yang baik. Belajar tidak sahaja hanya di sekolah. Mereka juga perlu mengulangkaji pelajaran di rumah bagi memastikan apa yang dipelajari di sekolah dapat difahami dan diingati dengan baik.

Justeru, amalan bercucuk tanam dapat menanam perasaan sayang dan menghargai setiap apa yang dilakukan. Apabila satu biji benih disemai, maka menjadi satu tanggungjawab untuk menjaganya sehingga mendapat hasil seperti diharapkan.

Bercucuk tanam antara lain mewujudkan persekitaran yang dipenuhi dengan tubuh-tumbuhan. Suasana itu menbentuk cinta kepada keindahan alam sekitar. Mereka akan menghargai setiap tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling.

Menjaga tumbuh-tumbuhan amat penting untuk kesejahteraan bumi dan penghuninya. Anak-anak perlu dididik dengan aspek penjagaan alam sekitar.

Untuk menimbulkan minat yang sentiasa membara, pada peringkat awal elok jika memilih jenis tanaman yang cepat mengeluarkan hasil seperti sayur-sayuran dan pokok yang hasilnya boleh dituai dalam tempoh masa kurang setahun seperti ubi kayu, ubi keladi, labu dan pisang. 

Mereka tentu amat gembira apabila usaha mereka membuah hasil dan dapat dimanfatkan pula oleh ahli keluarga.

Jom, didik anak sukakan amalan bercucuk tanam. 

No comments:

Post a Comment