Thursday, 12 May 2022

BUAH MERTAJAM RASA KELAT MANIS

Mertajam merupakan pokok yang biasa dijumpai di kawasan belukar di Malaysia. Pokok ini adalah antara pokok dalam keluarga Sapindaceae sama dengan rambutan. Daun dan bunganya hampir menyamai bunga rambutan. Buahnya dari jenis beri dengan isi yang nipis dan biji berkembar.

Mertajam merupakan tumbuhan liar tetapi strukturnya yang cantik dengan buah yang mempunyai bentuk dan warna yang menarik menyebabkan ia sesuai dijadikan pokok hiasan.

Buah terajan atau mertajam rasanya kelat-kelat manis. Buah terajan (nama di Kelantan dan mungkin juga di tempat-tempat lain ikut dialek masing-masing) dengan nama sainstifik Erioglossum rubiginosum memang mudah tumbuh di kawasan rumah. 

Pokok ini mencapai ketinggian antara 5 hingga 12 meter. Ia mempunyai daun pinat 4 hingga 6 pasang. Saiznya besar iaitu lebih kurang 5cm dan mempunyai reramput halus serta peruratan pinat.

Bunganya berwarna putih, bentuknya bulat dan berpetal 4. Buahnya kecil, berwarna kuning semasa muda dan bertukar menjadi merah dan kundang gelap bila matang.

Diakui kini pokok mertajam semakin sukar ditemui dan dikategorikan sebagai pokok nadir. Justeru, generasi muda hari ini mungkin tidak pernah melihatnya, apatahlagi memakain buah yang 'lazat' dan mendapat sambutan pada masa dahulu. 

Selain buahnya yang enak dimakan, daun mertajam dikatakan boleh hilangkan jerawat dan tidak meninggalkan sebarang kesan parut. Ia juga digunakan untuk merawat luka tanpa meninggalkan parut.

Daun dan kulit batangnya mengeluarkan buih seperti sabun bila dihancurkan dan boleh digunakan untuk membasuh tangan seperti sabun. Buahnya yang dicampuri dengan bedak sejuk digunakan secara tradisional untuk melicinkan kulit muka.

No comments:

Post a Comment