Friday 27 July 2018

IBADAT HAJI HANYA WAJIB SEKALI SEUMUR HIDUP

Ibadat haji merupakan Rukun Islam yang kelima. Ijmak ulama sepakat mengatakan ibadat haji adalah fardu ke atas semua mukallaf yang memenuhi syarat-syarat wajib haji sekali dalam seumur hidup. Tiada khilaf ulama dalam perkara ini. Namun tidak menjadi halangan bagi sesiapa yang mampu mengulanginya berkali-kali. Nabi Muhammad SAW hanya menunaikan haji sekali dalam hidupnya.

Kewajipan menunaikan ibadat haji adalah berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah (Kaabah), iaitu mereka yang sanggup pergi ke sana.” (Surah Ali Imran, ayat 97).

Satu lagi firman Allah SWT berkaitan haji ialah dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”

Kewajipan mengerjakan ibadat haji juga berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan dijelaskan melalui sabda baginda. 

Hadis diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Islam dibina di atas lima perkara, iaitu mengakui tiada Tuhan yang sebenarnya mesti disembah selain Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, mengerjakan haji ke Baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.”

Ibadat haji bukan sahaja mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak yang dikumpulkan bertahun-tahun, bahkan ia berkehendakkan seseorang itu menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram.

Firman Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 27 hingga 28 yang maksudnya: "Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu."

Sesungguhnya balasan besar bagi mereka mengerjakan ibadat haji. Rasulullah SAW bersabda sepertimna diriwayatkan dari Abu Hurairah, maksudnya: "Barangsiapa menunaikan haji ke Baitullah, sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang dilarang, maka bersihlah ia dari dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya".


Ibadat haji hanya diwajibkan ke atas orang yang mampu. Maksud mampu di sini amat luas. Umumnya di kalangan masyarakat kita mengaitkan istilah mampu hanya pada soal kewangan. 

Hakikatnya, mampu di sini merangkumi segala aspek berkaitan ke arah terlaksananya ibadat haji. Selain soal kewangan, perkara lain termasuk dalam konteks mampu ialah kesihatan, aman, keselamatan, kehendak undang-undang dan peluang. Tidak wajib seseorang wanita itu pergi haji melainkan dengan mahram atau dengan sekumpulan wanita sekurang-kurangnya 3 orang selain dari dirinya sendiri.

Sesiapa yang tidak menunaikan ibadat haji disebabkan terhalang tidak mampu, maka tidak jatuh dosa terhadapnya. Umpamanya, seseorang yang telah cukup simpanannya untuk perbelanjaan ke Makkah, tidak berpeluang melakukannya disebabkan terpaksa menunggu giliran ditetapkan pihak berkuasa, maka orang itu tergolong sebagai tidak mampu untuk tahun berkenaan.

Dalam soal ini, sesiapa yang pernah menunaikan haji wajar memberi keutamaan kepada orang yang belum pernah. Terdapat orang yang berulang-ulang kali menunaikan haji, secara tidak langsung sebenarnya telah merampas atau menyekat hak orang yang belum pernah. Sedangkan ibadat haji hanya wajib dilakukan sekali sahaja dalam seumur hidup.

Sesiapa yang mampu, terutama dalam soal kewangan, wajarlah menyegerakan perlaksanaan ibadat haji.  

Ibadat haji menghimpunkan seluruh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk tujuan dan maksud yang sama. Setiap tahun kira-kira empat juta umat Islam menunaikan ibadat haji. Jumlah itu adalah yang mampu diuruskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Jika tidak, sudah tentu bilangan jemaah hari lebih ramai daripada itu. 

Perhimpunan umat Islam menunaikan ibadat haji adalah perhimpunan teramai manusia untuk melakukan satu-satu ibadat di muka bumi ini. Mereka memakai pakaian, mengucapkan perkataan dan melakukan perbuatan yang sama ketika menunaikan ibadat haji tanpa membezakan keturunan, darjat kekayaan dan budaya hidup.   

No comments:

Post a Comment