Sunday 17 November 2019

PANORAMA AIR TERJUN LATA REK MEMUKAU PENGUNJUNG

Lata Rek adalah salah sebuah mukim dalam daerah (sama dengan status mukim di luar Kelantan) Olak Jaram, jajahan Kuala Krai. Nama kampung terdapat di Lata Rek ialah Kampung Kubang Puyu, Kampung Cempaka, Kampung Lata Tual, Kampung Jalal, Kampung Chatel, Kampung Bukit Budu, Kampung Kubang Kerian, Kampung Tok Uban, Kampung Jelkis dan Kampung Stambul.

Lata Rek terkenal di Kelantan kerana terdapatnya Air Terjun Lata Rek. Air terjun terbentuk dari aliran Sungai Rek.  

Pengunjung tidak sukar untuk sampai ke Lata Rek kerana kedudukannya hanya kira-kira 3 kilometer dari simpang Kampung Laloh, Jalan raya Kuala Krai- Gua Musang.

Jaraknya dari Kota Bharu kira-kira 100 kilometer dan 40 kilometer dari Kuala Krai. 

Keistimewaan Lata Rek terletak pada hamparan batu yang panjang kira-kira 200 meter dan lebar kira-kira 100 meter membentuk air terjun yang banyak arah mengikut lurah yang berlainan. Keadaan ini memberi satu pemandangan yang cantik dari pelbagai arah. 

Ini memberi banyak pilihan kepada pengunjung untuk berada di bahagian mana yang lebih disukai. Ada tempat air terjun terbentuk jeram yang menakung air sesuai untuk berenang atau berendam di situ. Pengunjung juga boleh bergerak dan menikmati ‘cabaran’ di pelbagai kedudukan air terjun.

Ketika musim kemarau, air terjun hanya terbentuk mengikut lurah yang lebih dalam. Bagaimanapun ketika musim hujan, air terjun melipasi halangan dari pelbagai arah membentuk lebih banyak air terjun.

Pemandangannya sungguh menarik kelihatan seperti air berlumba-lumba untuk sampai ke bawah.

Kawasan yang luas memberi keselesaan untuk pengunjung mandi manda. Bagi kanak-kanak mereka boleh memilih bahagian air terjun yang kecil dan tempat yang rendah. Selain itu kanak-kanak juga sesuai mandi di aliran sungai yang cetek dan kurang laju.

Berhampiran air terjun terdapat kawasan berpasir yang luas sesuai dijadikan tapak perkhemahan dan aktiviti sukan. Bagaimanapun pada musim hujan kawasan tersebut tidak sesuai dijadikan tapak perkhemahan kerana kadar kenaikan air secara mendadak yang membahayakan. 

No comments:

Post a Comment