Friday 5 February 2021

ROTI CANAI ADA BANYAK NAMA

Roti canai atau roti prata ialah roti jenis leper yang berbentuk bulat yang dapat dijumpai di beberapa negara Asia Tenggara. Ia dimakan sebagai makanan pagi, tengah hari, petang, dan malam.

Sering kali dimakan bersama kuah dal, kari dan sambal ikan bilis. Ada juga yang mencicah dengan gula.

Penggunaan perkataan canai dalam bahasa Melayu di belakang roti adalah hasil dari tingkah laku pencanai roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti.

Ada juga menyatakan perkataan canai di belakang roti ini asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni "Channal". Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakan berasal dari sana pada ketika kebanjiran orang India di Tanah Melayu pada era penjajahan Inggeris.

Roti canai di India dan Singapura, ia lebih dikenali sebagai roti prata. Rupa roti prata dengan roti canai adalah sama dan bentuknya masih lagi bulat.

Asalnya penyedia roti canai di kalangan orang India, terutama dari kalangan Mamak. Namun sekarang ini banyak orang Melayu kini menjadi penebar roti canai. Bahkan, sekarang ini banyak pengusaha roti canai segera adalah dari kalangan orang Melayu yang mengusahakan perindustri kecil dan sederhana.

Menariknya, orang Melayu turut mempelajari cara penyedian dengan pelbagai resepi tersendiri. Maka wujudlah pelbagai nama yang khusus untuk setiap jenis resipi roti canai itu.

Antara nama roti canai yang semakin terkenal:
- Roti telur, dicampurkan dengan telur selepas doh roti ditebarkan.
- Roti sardin, dicampurkan dengan sardin bersama sos tomato dan diletak bawang yang didadukan.
- Roti telur bawang, dicampurkan dengan telur bersama penggunaan bawangmerah yang banyak.
- Roti pisang, dicampurkan dengan pisang yang telah dilenyek.
- Roti bom juga dipanggil roti boom, jenis roti canai yang dibuat bentuknya kecil dan lebih tebal dari roti canai. Adunan doh dan cara penebaran dan canai, adalah sama dengan roti canai.
- Roti planta, dicampurkan dengan marjerin yang banyak. Penggunaan nama planta di belakang kerana ia adalah satu jenama marjerin yang popular di Malaysia.
- Roti petak, atau roti canai sebenarnya, penggunaan nama ini bukan secara umum, penggunaan ini digunakan segelintir oleh orang Malaysia kerana mahu roti canai yang baru dibuat dan dimasak. Kebanyakkan roti canai (berbentuk bulat), telah siap dimasak awal-awal dan akan dipanaskan semula bila dipesan.
- Roti banjir, adalah roti canai yang telah dipotong kecil-kecil, dan dicampurkan kuah dal atau kuah kari yang banyak. Sambal akan diletak sedikit.
- Roti cotek, roti canai yang telah siap dan dipecahkan sebiji telur tanpa digaul atau dikacau. 

No comments:

Post a Comment