Thursday 25 February 2021

SEMANGAT SUKARELA TANPA HARAPKAN UPAH

Bangsa Malaysia kaya dengan tradisi kesukarelawan. Antara lain, ia dicerminkan konsep gotong-royong. Gotong-royong dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat penyayang dan prihatin, misalnya dalam membantu kerja kenduri-kendara, turun ke sawah untuk menyemai dan menuai, menguruskan sakit pening dan kematian, memindahkan rumah dan sebagainya.

Sukarela bermakna melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah dengan niat ikhlas atau setulus kudus dan tidak mengharapkan apa-apa pulangan kepada diri sendiri.

Konsep gotong-royong dan bantu membantu ini diperkukuhkan oleh sebahagian daripada inti pati budaya masyarakat, seperti yang dicerminkan oleh peribahasa ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’.

Konsep gotong-royong membabitkan setiap anggota dalam sesebuah masyarakat, iaitu dengan memberikan peranan kepada semua orang dan masing-masing dengan gunanya. 

Begitu sekali tradisi ini membudaya dalam masyarakat negara ini, sehingga mereka yang tidak bercampur dalam masyarakat diibaratkan ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

Kerja sukarela akhirnya menyerlah dalam pelbagai bentuk, daripada kerja sukarela secara bersendirian kepada berkumpulan, daripada organisasi tidak formal kepada organisasi formal dan pada peringkat kampung hingga ke peringkat kebangsaan.

Bagaimanapun, sejak beberapa dekad lalu, ada banyak pandangan yang melihat bahawa konsep sukarela semakin hari semakin merosot. 

Maka itu, kempen kesukarelawan perlu dipupuk kembali, terutama di kalangan ramaja atau generasi muda. Mereka perlu dilatih dan membina jatidiri bersedia menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan upah. 

Pertubuhan bukan kerajaan atau yang berbentuk kesukarelawan perlu diperbanyakkan dan pada masa yang sama aktiviti juga perlu disusun agar dapat menarik penyertaan khalayak yang maksimum.  

No comments:

Post a Comment