Tuesday 20 April 2021

KEMPEN ANTIMEROKOK BERDASARKAN FAKTA PERUBATAN

Usaha kerajaan melakukan kempen antimerokok berdasarkan kepada fakta bahawa kajian perubatan yang mendapati 90 peratus pengidap barah berpunca perbuatan merokok. Barah paru-paru adalah kanser paling tinggi berlaku di kalangan perokok dan menjadi pembunuh nombor satu di dunia.  

Individu mengidap barah paru-paru tidak mempunyai peluang panjang untuk terus hidup lama. Kira-kira 95 peratus pesakit barah paru-paru meninggal dunia dalam tempoh lima tahun selepas disahkan mengidapnya.   

Selain barah paru-paru, perokok juga terdedah kepada barah mulut, barah tekak, barah esofagus, barah rahim dan barah pankreas. Selain berkaitan barah, perokok juga mudah mendapat penyakit arteri jantung, tersekat saluran darah, kurang daya kecerdasan otak dan lemah tenaga batin.

Jika sebelum ini kita merasa selamat daripada kesan rokok apabila tidak merokok, ia satu tanggapan yang salah. Seseorang yang berada di samping perokok juga mendapat kesan buruk asap rokok. Orang berada di samping perokok dikenali perokok pasif, yang mana menyedup asap yang dibebaskan oleh perokok.

Asap rokok yang dibebaskan oleh perokok dipanggil asap tembakau persekitaran (ETS). Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati ETS mengandungi 4,000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

ETS memberi kesan rokok kepada perokok pasif lebih tinggi berbanding perokok sendiri. Di mana, perokok pasif mengalami tiga kali ganda kesan tar, sekali ganda jumlah karbon manoksida, tiga kali ganda nikotin dan 50 kali ganda bahan menyebabkan kanser.

Individu di sekeliling berhak membantah perbuatan perokok kerana kesan buruknya turut ditanggung oleh orang lain. Perokok mengganggu hak orang lain untuk hidup lebih selamat dan selesa. 

Orang yang tidak merokok terpaksa menanggung akibat tabiat buruk perokok. Satu keadaan yang tidak adil dan menceroboh hak orang lain. Sebab itu kita patut menyokong tindakan kerajaan mewartakan tempat awam seperti restoran berhawa dingin, kawasan sekolah, dalam kenderaan awam, kawasan hospital dan tempat orang ramai sebagai kawasan larangan merokok.

No comments:

Post a Comment