Tuesday 26 October 2021

TIDAK PERLU BANDING ORANG LAIN DENGAN KITA

 
Hidup ini satu perjuangan untuk mendapat apa yang diingini. Kita perlu mengejar banyak perkara untuk memenuhi apa yang diharapkan.

Namun jangan jadi seperti kata pepatah; yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran.

Ia satu peringatan, ada yang kita harus kejar tapi jangan lupa apa yang kamu harus jaga. Kerana apa yang ada itu lebih layak disyukuri berbanding apa yang tiada.

Kita memang sudah memiliki sesuatu, tidak kisahlah banyak atau sedikit. Maka, bersyukur dan hargailah apa yang dimiliki.

Namun, kita tidak dilarang untuk terus mendapatkan apa yang lebih banyak atau lebih baik. Hanya janganlah kita terlalu terdesak untuk mencapainya.

Ironinya, dunia terlalu memaksa kita mengejari, memikir tentang pencapaian orang lain lalu mempersoal pencapaian sendiri yang tidak seberapa.

Hingga akhirnya kita berasa diri kita tidak punya harga, tidak sehebat orang lain.

Sehari-hari kita mencari jalan sendiri, membaca cerita orang lain. Membanding-banding dengan diri sendiri, hingga lupa melihat ke dalam diri serta membaca cerita sendiri.

Hakikat sebenarnya, kita juga hebat dan berjaya mengikut ukuran kita sendiri. Kita tidak mungkin berada pada kedudukan sekarang, tidak kisahlah kedudukan tahap mana, jika kita tidak mempunyai kehebatan dan telah menempa kejayaan.

Jadi, bersyukurlah dengan apa yang kita miliki tanpa membandingakan dengan orang lain.

Gambar: Aktiviti NGO Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan di Pulau Seratus.

No comments:

Post a Comment