Penggunaan kereta api unit gandaan diesel (diesel multiple unit DMU),
menggantikan lokomotif dan gorabak penumpang lama yang digunakan Keretapi Tanah
Melayu Berhad (KTMB) banyak memberi keselesaan kepada pengguna di laluan Pantai
Timur iaitu Kelantan dan Pahang.
Menerusi tren DMU tersebut, KTMB dapat
menawarkan perkhidmatan lebih baik dan selesa kepada masyarakat pedalaman
kedua-dua negeri yang bergantung kepadanya setiap hari.
Kerajaan Pusat memperuntukkan RM380 juta
untuk membeli 13 buah tren DMU yang mula dilancarkan pada 11 April 2021.
Tren DMU atau dikenali Kelas 61 menawarkan
kemudahan mesra pengguna orang kurang upaya (OKU), selain semua tempat duduk
penumpang sama tanpa dibeza-bezakan status orang biasa atau orang kenamaan.
DMU ini juga dilengkapi dengan tempat
simpan beg, soket kuasa bagi tujuan pengecasan bateri telefon atau komputer
riba, bilik solat dan tandas lebih selesa serta mampu memenuhi keperluan
pengguna.
Kalau dilihat dari segi luaran, DMU ini
hampir menyerupai tren unit gandaan elektrik (electic multiple unit EMU) milik KTMB yang lain cuma
bezanya adalah kuasa DMU dijana menggunakan enjin diesel.
Disebabkan itu, tren DMU ini tidak
mempunyai pantograph serta tidak memerlukan landasan yang lengkap dengan
kemudahan elektrifikasi atau overhead catenary line (OCL).
DMU Kelas 61 ini dihasilkan oleh CRRC
Zhuzhou Locomotive (CRRC) pada tahun 2018 hingga 2020 sebanyak 13 unit. Dua set
tren pertama dihasilkan di kilang CRRC di Zhuzhou, China manakala baki 11 lagi
unit dihasilkan di kilang Batu Gajah, Perak.
DMU ini mempunyai kelajuan maksima 140 km/j
dan mampu membawa 200 hingga 220 penumpang pada satu-satu masa dengan empat koc
atau lebih dikenali sebagai gerabak.
CRRC memberikan sentuhan teknologi terkini
dengan pengenalan sistem signal Wireless Train Tracker menggantikan sistem
Automatic Train Protection (ATP) yang sekian lama digunapakai oleh pihak KTMB.
No comments:
Post a Comment