Kumpulan
penggiat seni dan hiburan sering dipandang serong oleh golongan agama. Mereka dianggap
golongan melanggar norma-norma ditetapkan oleh agama. Bahkan mereka yang menjadikan
seni sebagai satu kerjaya dipandang mendapat hasil haram.
Sebaliknya,
bagi Dr Yusof al-Qaradhawi, dalam Fiqh Awlawiyaat (Fikh Keutamaan) mencadangkan
agar pendakwah mendekati komuniti masyarakat seni.
Antara
yang dicadangkan ialah menyediakan tenaga-tenaga Muslim yang cekap, mahir dan
profesional dalam bidang seni dan media, penyiaran, media kreatif, dan mereka
yang berbakat untuk bergiat dalam bidang seni suara, muzik, teater dan
perfileman yang mampu berkarya, menerbit dan megimarahkan dunia media dan
penyiaran.
Dengan
mendekati masyarakat seni yang menguasai bidang hiburan dan media supaya mereka
lebih cenderong kepada agama. Masih banyak di kalangan artis yang masih menjaga
solat, kerap mengerjakan umrah dan haji, berpuasa dan berzakat, tapi sayang
fikrah mereka terhadap Islam masih cetek.
Maka
pendekatan yang betul ialah mendekati dunia artis, bukan memulau dan menjauhi
atau lebih parah menghukum mereka.
Secara
umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun
hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama
Islam dan tidak melalaikan.
Hiburan
juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik
dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi
pemikiran, emosi, dan inovasi manusia.
Aktiviti
kesenian adalah sebahagian daripada rekreasi manusia yang terkandung di
dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang
sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun
manusia.
Sebagai
seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang
sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai
keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan
dengan hiburan.
Tujuan
syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi
sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan
fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat
walau dimana kita berada.
Hiburan
dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan
murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan.
Malah
hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara
mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan
tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Konsep
berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan
tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak.
Dalil
keharusan berhibur dapat difahami melalui hadis Rasulullah SAW kepada Abdullah
bin Amr bin Al-As yang bermaksud: "Wahai Abdullah bin Amar,
"Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah, dan ke atas kamu hak untuk
tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang
miliki hak tersebut."
No comments:
Post a Comment