Sunday, 24 April 2016

SIKAP REDA HALANG PENYAKIT DENGKI


Allah sentiasa menguji keimanan setiap daripada kita.  Sesiapa yang reda dan menerima dengan terbuka apa yang terjadi kepadanya memperoleh balasan yang baik di sisi Allah.  Sesuatu yang tidak disenangi menimpa seseorang mungkin tersimpan kebaikan di sebaliknya. 

Oleh itu tidak wajar sama sekali seseorang menunjukkan sifat dengki atas apa yang diperoleh orang lain.  Anggaplah orang yang menerima kebaikan itu sebenarnya sedang diuji Allah.  Sekiranya dia berada di jalan benar, pastinya Allah melimpahkan lebih banyak nikmat kepadanya. 

Allah lebih mengetahui apa yang menimpa ke atas setiap orang.  Dia berkuasa memberi dan menentukan setiap kejadian di dunia ini.  Sesiapa menyimpan dengki terhadap orang lain, samalah dia cuba mengubah apa yang ditentukan Allah terhadap orang lain.

Allah berfirman bermaksud: “Adakah patut mereka dengki kepada manusia kerana kurnia yang diberikan Allah.” (Surah an-Nisa, ayat 54).

Penyebaran berita fitnah bermotif dengki adalah tindakan orang pasik.  Berita palsu penuh dengan dengki, dendam dan marah dijadikan senjata melemahkan pihak yang ditentang.  Sebab itu setiap orang perlu lebih berhati-hati menerima berita yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.  

Sesiapa mempercayai berita fitnah dan melakukan apa yang bertentangan dengan hak, maka kecelakaan pasti akan menimpa kemudiannya. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti kebenarannya agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Rasulullah menyifatkan dengki sebagai satu penyakit.  Penyakit dengki telah menyebabkan banyak umat terdahulu menerima nasib buruk.  Masyarakat menjadi kucar kacir dan hanya mementingkan diri sendiri disebabkan merebaknya sifat dengki. 

Kehidupan anggota masyarakat tidak akan aman dan selamat selagi sifat dengki banyak diamalkan.  Orang berdengki sanggup melakukan apa saja asalkan niatnya tercapai.  Mereka membelakangi hukum Allah dan berselindung di sebalik kebaikan yang terselindung sifat munafik.

Hadis diriwayatkan Tirmizi dan Ahmad bermaksud: “Kamu telah dijangkiti penyakit umat-umat sebelum kamu, iaitu dengki dan benci.  Ia laksana gunting rambut kamu.  Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu saling mencintai.”

Perasaan dengki akan menghapuskan perasaan kasih sayang dan persaudaraan.  Dengki akan menghapuskan semua sifat mulia lain.  Orang yang berdengki tidak mungkin lahir dalam dirinya sifat mulia seperti amanah, kasih sayang, tolong menolong dan pekerti mulia.   

Untuk meningkatkan kejayaan dan kualiti hidup ummah, sifat dengki perlu dihapuskan sama sekali.   Islam mementingkan sifat tolong menolong yang membawa kepada kejayan yang lebih baik.  Sekiranya ada di kalangan kita mendapat kejayaan, hendaklah membantu agar kejayaan diperoleh itu semakin baik. 

No comments:

Post a Comment