Monday 23 May 2016

Hubungan akrab elak wujud dengki


Untuk meningkatkan kejayaan dan kualiti hidup ummah, sifat dengki perlu dihapuskan sama sekali.  Islam mementingkan sifat tolong menolong yang membawa kepada kejayan yang lebih baik. 

Sekiranya ada di kalangan kita mendapat kejayaan, hendaklah membantu agar kejayaan diperoleh itu semakin baik. 

Kejayaan yang diperoleh seseorang lain lambat laun manfaatnya dapat dinikmati orang lain juga. Hidup kita saling berkait yang memberi kesan kepada orang lain. Sebab itu, jika  antara kita mendapat kejayaan bolehlah dianggap kejayaan kita semua.

Sebenarnya ramai orang sedar keburukan dengki. Tetapi disebabkan kurang keimanan di dalam diri, syaitan mudah mempengaruhi agar mudah menyimpan perasaan dengki dan dendam. 

Penyakit dengki telah menyebabkan banyak umat terdahulu menerima nasib buruk. Masyarakat menjadi kucar kacir dan hanya mementingkan diri sendiri disebabkan merebaknya sifat dengki. 

Menurut Imam al-Ghazali, dengki adalah hasil daripada kesan dendam yang tercela. Bagi sifat dengki ini ada pelbagai cabangnya yang terkeji pula, sehingga tidak terhitung banyaknya.

Sebab itu orang berdengki akan menzahirkan melalui perbuatan mencaci, mencarut, dusta, fitnah, tuduhan melulu, tidak mengaku kelemahan sendiri dan meletakkan kesalahan ke atas pihak lain.

Perbuatan dengki dilakukan pelbagai cara, asalkan orang yang didengki itu menerima kesan buruk. Perbuatan itu boleh berlaku melalui penyebaran fitnah, cacian dan umpatan. Sifat dengki mungkin juga dilakukan secara tindakan fizikal seperti memukul dan membunuh.

Pembunuhan pertama sesama manusia berpunca perasaan dengki. Peristiwa itu melibatkan Qabil dan Habil, dua anak Nabi Adam yang berebut pasangan untuk dijadikan isteri. Kisah tersebut dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Maidah, ayat 27 bermaksud: “....Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!.”

Api kemarahan dan dengki Qabil tidak dapat dikawal sehingga sanggup membunuh Habil. Sejarah itu menjadi panduan syaitan mencari kelemahan manusia dan menggunakan sepenuhnya untuk merosakkan manusia. 

Syaitan menjadikan dengki sebagai azimat paling berkesan melaga-lagakan manusia agar sentiasa bermusuh-musuhan dan melakukan khianat di muka bumi, sekaligus ingkar kepada perintah Allah.

Hati orang berdengki mudah mati hatinya. Hati yang mati tidak lagi dapat melihat kebaikan di sekelilingnya. Semakin banyak sifat dengki diamalkan, semakin keras hatinya daripada menerima cahaya kebenaran. 

Hati yang mati lebih keras daripada batu. Ia tidak lagi dapat memberi apa-apa kebaikan, melainkan dilembutkan kembali dengan taubat dan kembali ke jalan yang benar. Hati yang keras tidak dapat merasai kemanisan sebenar kehidupan.

No comments:

Post a Comment