Friday 16 February 2018

HUTAN LIPUR SEKAYU JANJIKAN KEPUASAN

Hutan Lipur Sekayu atau Air Terjun Sekayu terletak di sebuah perkampungan kecil yang dinamakan Kampung Sekayu. Jaraknya kira-kira 56 Km dari Kuala Terengganu dan hanya 13 Km dari Kuala Berang. Lokasi ini boleh dicapai melalui persimpangan Ajil Lebuh Raya Pantai Timur..

Kawasan tersebut yang juga dikenali sebagai Taman Pertanian Sekayu dirasmikan pembukannya oleh Datu Seri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 15 Mei 1985.

Hutan Lipur Sekayu memang sesuai dikunjungi sebagai destinasi perkelahan sekeluarga. Kawasannya memiliki keindahan semulajadi hutan, air terjun, sungai dan batu-batu.    

Kawasan air terjun dan sungainya yang jernih dan dingin memang sesuai untuk mandi manda. Alirannya tidak berapa deras dan kebanyakan kawasan airnya pula tidak dalam.  

Bagaimanapun pengunjung perlu berhati-hati kerana ada kawasan yang airnya dalam dan berbahaya bagi mereka yang tidak pandai berenang.

Hutan Lipur Sekayu sememangnya terkenal dengan buminya yang kaya dengan pelbagai keunikan khazanah semulajadi. Hutan Lipur ini dihiasi indah dengan aliran sungai berair terjun yang dingin dan jernih pastinya menggamit suasana damai, nyaman lagi menyegarkan.

Hutan semulajadinya yang berbukit dilitupi barisan hujan tropika yang menghijau, kaya dengan pelbagai spesies pokok termasuklah yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi juga terdapat di sini. Pengunjung boleh mengenali pokok-pokok yang bernilai komersial dengan mudah kerana ia ditanda dengan nama serta keterangan ringkas.

Di sini juga terdapat banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi. 

Selain daripada itu, kemudahan dewan turut disediakan kepada pengunjung untuk membuat aktiviti di dalam dewan contohnya sambutan hari keluarga atau lain-lain aktiviti.

No comments:

Post a Comment