Sunday 3 June 2018

MANGSA SKIM CEPAT KAYA

Mudahnya rakyat Malaysia ditipu dalam pelaburan haram atau tidak diluluskan Bank Negara Malaysia. Macam-macam jenis penipuan pelaburan dilaporkan yang melibatkan kerugian berjumlah jutaan ringgit. Dari pelaburan emas, kopi, kapas, perladangan hinggakan peniagaan kucing.

Semua pelaburan itu melibatkan modus operandi yang sama iaitu menjanjikan keuntungan berganda lama tempoh masa yang singkat. Individu yang mendapatkan pelanggan baru juga dijanjikan keuntungan. Sebab skim cepat kaya berkembang cepat disebabkan ada individu yang menjadi agen atau perantaraan.

Sama ada skim itu menggunakan kucing, cacing, emas dan sebagainya, ia merupakan skim cepat kaya yang sebenarnya hanya indah khabar daripada rupa.

Mereka hanya mengubah bentuk pelaburan itu, sedangkan modus operandi tetap sama iaitu menjadikan individu yang ingin kaya dengan cepat sebagai mangsa.

Amat menghairankan mengapa masih ramai anggota masyarakat yang terpedaya untuk melabur dalam skim pelaburan seperti itu sedangkan telah banyak laporan di media mendedahkan kegiatan tersebut.

Antara punca masih ada individu yang terpedaya dengan skim pelaburan seperti itu disebabkan kurang kesedaran terhadap penipuan melibatkan pelaburan selain tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Seseorang individu itu biasanya akan tertarik dengan pelan perniagaan yang dibentangkan oleh wakil syarikat pelaburan sehingga menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan wang untuk melabur.

Di atas kertas, memang pelan perniagaan tersebut nampak cantik dan menjanjikan pulangan yang berganda dalam tempoh masa tertentu. Jika lihat kepada keuntungan yang bakal diperoleh, siapa yang tidak mahu melabur.

Hakikatnya, skim pelaburan seperti itu memang akan merugikan kerana ia bukanlah skim pelaburan yang sebenar.

Individu yang ingin terlibat dalam mana-mana skim pelaburan seharusnya mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan melakukan penyelidikan terlebih dulu terhadap skim yang ditawarkan.

Mereka juga perlu mempunyai ilmu asas berkaitan pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Itulah kelemahan kita iaitu tidak mahu melakukan semakan dan penyelidikan terlebih dahulu berhubung skim pelaburan yang ditawarkan.

Nak melabur itu tidak salah tetapi sepatutnya ambil sedikit masa dan selidiklah terlebih dahulu latar belakang syarikat serta prestasi semasa pelaburan.

Pastikan juga kita mempunyai pengetahuan asas mengenai aktiviti pelaburan sebelum melabur. Jangan hanya kerana ingin cepat kaya, harta yang ada digadai semuanya sehingga akhirnya bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

No comments:

Post a Comment