Friday 8 June 2018

MENGAPA PAKAI JUBAH, KOPIAH

Berjubah dan berkopiah atau berserban adalah pakaian tradisi masyarakat Arab yang tiada kaitan dengan tanda keimanan. Ada hadis menyebut yang bermaksud: “Serban-serban itu adalah mahkota orang Arab.” (Hadis riwayat Ad-Dailami). 

Amalan memakai serban dan jubah di kalangan orang Arab bermula sejak sebelum kedatangan Islam. Manakala sekarang ini, orang Kristian dan Yahudi di negara-negara Arab juga berjubah dan berserban. Malah, memakai kopiah adalah identiti orang Yahudi di sesetengh tempat.  

Isu ini tidak seharusnya dilihat secara begitu ‘simplstik’. Jika kita ingin mendapat kebaikan dan mengelak keburukan, sekecil mana sekalipun isu, perkara ini perlu diperjelaskan kepada umum untuk mengelak ada pihak mengambil kesempatan atas kejahilan orang ramai. 

Perkara yang dikaitkan dengan agama seringkali diguna pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan diri. Taraf orang alim di dalam masyarakat amat tinggi dan dihormati. Jadi, pakaian yang melambangkan alim sering dipakai oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan orang ramai.

Masyarakat kita mudah percaya kepada individu yang berpakaian nampak alim, macam pak haji (mak haji), dan tok guru. Keadaan inilah diambil kesempatan oleh sesetengah individu untuk menipu. 

Banyak kes penipuan dilakukan oleh individu yang menjadikan pakaian sebagai cara untuk memperdaya orang ramai. Lelaki berjubah, berkopiah atau berserban, manakala wanita pula memakai telekung labuh. 

Banyak orang yang sedang dibicarakan di mahkamah memakai kopiah. Apakah tujuan sebenarnya? Adakah mereka ingin menunjukkan bahawa mereka sebenarnya alim dan tidak melakukan kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya? 

Perbuatan itu ada lojiknya. Sebabnya, kebanyakan kita mudah merasa kesihan kepada mereka yang menampilkan pakaian berbentuk orang alim. Tambah lagi apabila menunjukkan wajah memohon simpati.

Kita bukan bermaksud memperkecil-kecilkan mereka yang berjubah, berkopiah atau berserban. Tetapi, apa yang ingin ditekankan di sini ialah jangan mudah percaya kepada seseorang hanya berdasarkan kepada apa yang dipakainya. Sesiapa sahaja boleh berpakaian menunjukkan watak alim, sedangkan tidak membuktikan apa yang sebenarnya.

Selain itu, perlu dijelaskan di sini, tidak terdapat di dalam al-Quran maupun hadis yang menyebut mengenai reka bentuk dan jenis pakaian yang dianggap simbol pakaian Islam. Apa yang dijelaskan hanyalah mengenai keperluan menutup aurat, terutama sekali bagi wanita. 

Ijmak ulama telah sepakat mengatakan pakaian orang Islam tidak semestinya kopiah, serban dan jubah. Kita bebas memilih fesyen mana yang dikehendaki.  Setiap orang mempunyai citarasa yang berlainan.    

Dalam hal berkaitan menutup aurat, ada ayat al-Quran yang mengaitkan cara berpakaian menunjukkan kaitan dengan iman dan takwa kerana perbuatan itu secara langsung membuktikan diri seseorang mematuhi perintah Allah. 

Pun begitu, tidak dijelaskan fesyen apa yang perlu dipakai oleh orang Islam. Selagi pakaian itu menenuhi konsep menutup aurat, maka itulah yang dibenarkan syariat. 

Maksud menutup aurat bukan sekadar menutup bahagian badan, tetapi juga tidak menonjolkan bentuk tubuh, yakni pakaian yang terlalu ketat atau dari jenis kain tertentu yang menampakkan bentuk tubuh pemakainya.

Wajar kita memakai jubah, serban dan berkopiah dengan niat mengikut sunnah Rasulullah. Perbuatan itu sebahagian tanda kita kasih kepada Rasulullah. 

Tetapi, sesiapa memakai jubah, serban dan kopiah dengan niat bermegah dan menunjukkan diri lebih alim, perbuatan itu ditegah dalam Islam yang termasuk dosa. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Amalan melabuhkan itu berlaku pada kain, baju (jubah) dan serban. Sesiapa yang meleretkan salah satunya kerana bermegah, Allah tidak melihat kepadanya pada hari Kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai).

Kita digalakkan memakai pakaian yang menyenangkan perasaan, sesuai dengan cuaca, memudahkan urusan harian, selamat dan selesa, selain tujuan menutup aurat. Itulah tujuan sebenar berpakaian. 

Firman Allah bermaksud: “Hai anak Adam!  Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan pakaian untuk perhiasan.” (Surah al-Akraf, ayat 26).

No comments:

Post a Comment