Tuesday 12 June 2018

UCAPAN KETIKA SAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah berjaya melawan hawa nafsu sepanjang melaksanakan ibadat puasa Ramadan. Hari kemenangan itu perlu disambut dengan perasaan gembira, namun dalam batasan syariat. 

Pada hari kemenangan itu disunat perbanyakkan istighfar, tasbih dan tahmid, sebaik berakhirnya Ramadan terutama menjelang malam raya sehinggalah ke pagi hari raya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan takbir dan ibadah, tidak dimatikan hatinya pada hari dimatikan segala hati." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Aidilfitri bukan sambutan berdasarkan adat dan kehendak nafsu, sebaliknya satu anugerah yang termasuk dalam ibadat. Sebab itu, sambutan perlu dilakukan mengikut tuntutan syariat dengan memperbanyakkan kebaikan dan menjauhkan apa yang dilarang. 

Namun dalam melaksanakan amalan sepanjang merayakan Aidilfitri hendaklah kita mengetahui mana amalan sunah Rasulullah SAW dan mana pula yang menjadi ritual atau adat dalam masyarakat.

Sungguh jauh berbeza antara Aidilfitri yang disambut sebagai ibadat dengan yang hanya berupa adat. Setiap ibadat adalah mengikut apa disyariat, melakukan kerana Allah SWT dan tidak bercampur dengan perkara maksiat. Sedangkan adat mengikut kebiasaan yang diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat. 

Menurut ketentuan sunah, pada Hari Raya Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan "taqaballahu minna wa minkum" yang bermaksud "semoga Allah menerima ibadah kami dan ibadah kalian".

Selain itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan "minal aidin wal faizin" yang bererti "mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang kembali dari medan perang dengan memperoleh kemenangan yang besar".

Diceritakan bahawa mengucapkan minal aidin wal faizin itu adalah kebiasaan para sahabat pada zaman dahulu kerap mengucapkan kata-kata itu apabila mereka kembali dari medan perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.

Namun, dalam masyarakat kita, ucapan yang lebih kerap diucapkan ialah ungkapan "selamat hari raya". Tidak salah ucapan itu, tetapi dalam segi maksudnya tidak membawa apa-apa erti. Justeru lebih elok kita ucapkan "taqaballahu minna wa minkum" dan "minal aidin wal faizin".

Pada hari mulia ini masa yang paling baik untuk bermaaf-maafan. Segala yang keruh dibuang, sebaliknya ambillah yang jernih. Islam amat mengutamakan amalan memberi kemaafan untuk melahirkan hidup yang sejahtera dan harmoni. 

Dosa melibatkan sesama manusia hanya terampun jika mendapat kemaafan daripada orang berkaitan.

Hakikatnya, amalan bermaaf-mafaan tidak hanya terhad pada Aidilfitri. Islam menganjurkan agar kemaafan terus dipinta sekiranya telah melakukan kesalahan. Kaitan amalan bermaafan pada hari raya sebagai menzahirkan kebersihan diri daripada dosa hasil melaksanakan ibadat puasa. 

Sebenarnya sambutan Aidilfitri hanya pada 1 Syawal. Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa sunat Syawal dan puasa-puasa sunat lain, termasuk puasa ganti. 

Kebiasannya penganut Islam di negara-negara Arab hanya menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal, atau jika diteruskan lagi sekadar untuk dua tiga hari.  

Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang dilakukan itu tidak bertentangan syariat.

Namun apa yang ditakuti ialah kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang bulan Syawal. Malah ada yang mengaitkan sambutan sebulan itu sebagai satu tuntutan agama. 

Sekiranya berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk berhari raya. Lirik sebuah lagu raya berbunyi 'kita beraya selama sebulan'.

Raya disambut meriah termasuk di kalangan mereka yang tidak berpuasa. Mereka menyambut Aidilfitri bukan kerana melaksanakan ibadat puasa, tetapi bergembira tidak perlu lagi makan sembunyi-sembunyi pada tengah hari.

No comments:

Post a Comment