Friday 27 July 2018

IBADAT KORBAN DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH

Aidiladha bermakna ganda, iaitu kebahagiaan umat Islam yang dimanifestasikan dengan menyembelih haiwan korban sebagai tanda kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan kebahagiaan umat Islam kerana dapat menunaikan ibadah haji serta memenuhi panggilan-Nya.

Keistimewaan Hari Raya Aidiladha berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri di mana ia dilakukan di seluruh dunia bersamaan waktunya dengan jemaah haji yang berkumpul di Tanah Suci melaksanakan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah haji.

Kita memperingati Hari Raya Haji sebagai hari raya besar, lebih besar daripada Hari Raya Puasa. Kerana ia adalah peristiwa besar yang melambangkan sejarah agama tauhid yang cukup panjang, pengorbanan yang ikhlas kerana Allah dan usaha terus-menerus untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Dengan mengumandangkan takbir, tahlil dan tahmid kita menyedari sepenuhnya bahawa manusia adalah makhluk yang kecil di hadapan kebesaran Allah SWT. pencipta alam semesta. Juga kita menyedari bahawa kita hanyalah sebagai makhluk yang daif dan hina di hadapan Allah SWT; Zat Yang Maha Mulia, Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.

Sebagai makhluk yang daif , makhluk yang hina di hadapan Allah SWT kita yang hanya dapat berharap dan memohon kasih sayang-Nya, semoga perjalanan hidup kita di dunia ini hingga akhirat kelak mendapat keselamatan dan kebahagiaan. Bahkan kita pun berharap agar kiranya Allah menjauhi kita daripada azab seksa-Nya yang amat pedih.

Justeru dalam merayakan Aidiladha ini umat Islam dituntut merapatkan ukhuwah Islamiah di samping bersikap toleransi sesama manusia. Rasulullah SAW pernah ditanyakan soalan mengenai seorang wanita yang banyak melakukan ibadah dengan berpuasa, bersolat tetapi wanita itu suka menyakiti tetangganya. Nabi s.a.w. menegaskan “Hiya Finnar”, bahawa wanita ini tidak dapat membina hubungan baik dengan masyarakat sekitarnya, kelak di akhirat ia akan masuk neraka.

Hari Raya Korban sebenarnya menuntut kita agar lebih banyak beramal sosial bukan sekadar bersifat formal sahaja. Terbukti sudah begitu ramai mereka yang sering melaksanakan ibadah korban tetapi perangai masih tetap tidak berubah, masih di takuk lama, masih tetap bakhil, sombong, riak, tamak, tidak amanah dan rasuah. Lebih teruk lagi ialah mengambil sikap mengasingkan diri daripada masyarakat.

Sesungguhnya agama ini tidak mungkin dihayati secara sendirian atau dalam erti kata mementingkan diri sendiri. Islam adalah agama jamaah, agama untuk mendidik manusia hidup bermasyarakat. Golongan yang mementing diri sendiri dan tidak sanggup untuk berkorban sudah tentu gagal membawa misi dan amanat yang terdapat dalam semangat Hari Raya Korban.

Sekalipun amal sosial nampak remeh dan kecil namun di sisi agama ia sangat dihargai dan besar maknanya. Walaupun sekadar bermuka manis ketika bertemu kawan atau menyingkirkan duri di jalan, perbuatan itu sudah dinilai dalam Islam sebagai orang yang beriman.

Setiap kali menjelang Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia berada dalam keadaan hidup mereka berbeza-beza. Ada umat Islam dalam keadaan susah, tertindas, teraniaya, tertekan; bahkan ada umat Islam yang tersisir dari tanah kelahirannya sendiri tanpa ada yang melindungi selain perlindungan Allah SWT.

Hidup ini dari dahulu sampai ke akhir zaman penuh dengan tentangan dan rintangan. Justeru hanya orang yang kuat dalam bidang ekonomi, fizikal dan mental saja yang akan keluar sebagai khalifah yang berjaya. Kuat dalam ketiga-tiga bidang ini adalah simbol kekuatan dalam bidang peradaban dan sekali gus dalam bidang agama.

Dari segi realiti, kita dapat lihat kehidupan sesetengah orang yang berbeza atau berlawanan dengan apa yang kita bicarakan ini. Ada yang sekadar membina hubungan baiknya dengan Tuhan dengan banyak beribadah kepada-Nya, tetapi tidak dengan masyarakat sekitarnya.

Manakala sebahagian orang pula hanya menjalinkan hubungan baiknya dengan masyarakat dengan banyak beramal sosial, tetapi melupakan jalinan hubungan baiknya dengan Allah.

Dan yang lebih teruk lagi manusia yang langsung tidak peduli dengan Allah dan juga sesama manusia. Golongan ini dilaknat oleh Allah dan dibenci oleh masyarakat.

Umat Islam juga ditegaskan supaya bersedia untuk berkorban apa saja demi membuktikan keimanan serta kecintaan kepada Allah SWT. Ada yang mengambil bahagian dalam ibadat korban ini kerana ingin menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim membantu saudara seagama yang memerlukan, ada pula hanya mengikut kerana itulah acara wajib pada Aidiladha.

Perubahan gaya hidup serta kejadian berlaku di seluruh dunia turut mempengaruhi pengertian terhadap ibadah korban kerana majlis korban juga dianjurkan di luar negara khususnya di kawasan umat Islam hidup dalam keadaan daif.

Malah, teknologi dalam industri makanan juga digunakan untuk mengetin daging korban supaya lebih tahan lama serta dapat disedekahkan kepada umat Islam yang tinggal di kawasan konflik atau peperangan.  

Apa juga sebabnya, hidup manusia tidak akan lepas daripada berdepan situasi di mana mereka perlu melakukan pengorbanan. Justeru, berkorban atau pengorbanan itu memberi maksud yang berbeza.

Penghayatan ibadah korban bergantung kepada niat seseorang melakukan ibadat itu kerana perasaan ikhlas tidak dapat dilihat atau digambarkan oleh ekspresi.

Niat ikhlas mengeluarkan duit untuk membeli binatang ternakan yang akan dikorbankan dan disedekahkan kepada golongan kurang bernasib baik sudah dikira sebagai pengorbanan. Jika ibadat itu dilakukan ikhlas kerana Allah SWT, dikira sebagai ibadat.

Ibadah korban juga cara hamba bertaqarrub iaitu mendekatkan diri dengan Allah SWT selaras hikmah dan fadilat korban antara lain mendidik jiwa ke arah takwa, mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment