Kebanyakan rakyat Malaysia yang kaya atau
berkemampuan menunaikan ibadat haji melebihi daripada sekali, selain
berulang-ulang kali menunaikan ibadat umrah.
Ibadat haji seringkali dikatakan
sebagai panggilan atau jemputan untuk mengunjungi rumah Allah SWT. Ia juga dikenali perjalanan
memenuhi panggilan Nabi Ibrahim.
Allah SWT memerintahkan Ibrahim dan puteranya,
Ismail, membangunkan kembali Kaabah. Setelah mereka membersihkan tempat ibadat
itu, Allah memerintahkan pula Ibrahim untuk menyeru manusia agar mengerjakan
haji.
Kewajipan menunaikan ibadat haji
adalah berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT bermaksud: “Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi
Baitullah (Kaabah), iaitu mereka yang sanggup pergi ke sana.” (Surah Ali Imran,
ayat 97).
Firman Allah dalam surah al-Baqarah
ayat 196 yang bermaksud: “Sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”
Kewajipan mengerjakan ibadat haji
juga berdasarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan dijelaskan melalui
sabda baginda.
Hadis diriwayatkan oleh Muslim yang
bermaksud: “Islam dibina di atas lima perkara, iaitu mengakui tiada Tuhan yang
sebenarnya mesti disembah selain Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu
pesuruh Allah, mendirikan solat, membayar zakat, mengerjakan haji ke Baitullah,
dan berpuasa pada bulan Ramadan.”
Ibadat haji agak unik kerana
memerlukan tempat khusus dan pada masa khusus. Ibadat haji dilaksanakan di sekitar Makkah dan masanya hanya dari 9
hingga 13 Zulhijjah sahaja setiap tahun, iaitu hanya lima hari.
Tempoh itu
untuk melaksanakan semua perkara yang termasuk dalam wajib haji. Masa lebih
pendek jika jemaah hanya melakukan rukun haji dan meninggalkan wajib haji.
Rukun Haji ialah perlakuan atau
upacara yang mesti dilakukan dan menentukan sah atau batal haji yang dilakukan.
Manakala wajib haji ialah perlakuan yang mesti dilakukan, dan sekiranya tidak
dilakukan hajinya tetap sah tetapi wajib dibayar dam.
Rukun haji ialah niat mengerjakan
haji serta ihram, wukuf di Arfah pada 9 Zulhijjah, tawaf Kaabah, sei, bercukur
dan melakukan rukun itu secara tertib (mengikut susunan).
Manakala wajib haji ialah pertamanya
niat ihram di miqat. Kedua, bermalam di Muzdalifah pada 10 Zulhijjah. Ketiga,
melontar di Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah.
Keempat, bermalam di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Kelima,
melontar di ketiga jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Dan, keenamnya ialah
menjauhi daripada perkara yang dilarang semasa ihram.
Masa sekitar 40 hari yang diambil
oleh jemaah haji kita adalah tempoh masa yang paling sesuai bagi ‘melengkapkan’
dan memberi peluang melakukan ibadat lebih lama di Makkah dan Madinah, selain
masa berkaitan perjalanan.
Contohnya, jemaah haji kita akan
berada di Madinah untuk sekurang-kurangnya lapan hari bagi memberi peluang
bersembahyang di Masjid Nabi sekurang-kurangnya 40 waktu sembahayang. Sedangkan,
berada dan bersembahyang di Masjid Nabi tidak termasuk dalam rukun dan wajib
haji.
Ibadat haji hanya diwajibkan ke atas
orang yang mampu. Maksud mampu di sini amat luas. Umumnya di kalangan masyarakat kita
mengaitkan istilah mampu hanya pada soal kewangan.
Hakikatnya, mampu di sini merangkumi
segala aspek berkaitan ke arah terlaksananya ibadat haji. Selain soal kewangan,
perkara lain termasuk dalam konteks mampu ialah kesihatan, aman, keselamatan,
kehendak undang-undang dan peluang.
Sesiapa yang tidak menunaikan ibadat
haji disebabkan terhalang tidak mampu, maka tidak jatuh dosa terhadapnya. Umpamanya,
seseorang yang telah cukup simpanannya untuk perbelanjaan ke Makkah, tidak
berpeluang melakukannya disebabkan terpaksa menunggu giliran ditetapkan pihak
berkuasa, maka orang itu tergolong sebagai tidak mampu untuk tahun berkenaan.
Dalam soal ini, sesiapa yang pernah
menunaikan haji wajar memberi keutamaan kepada orang yang belum pernah. Terdapat
orang yang berulang-ulang kali menunaikan haji, secara tidak langsung
sebenarnya telah merampas atau menyekat hak orang yang belum pernah. Sedangkan ibadat haji hanya wajib dilakukan
sekali sahaja dalam seumur hidup.
No comments:
Post a Comment