Friday 27 July 2018

RASULULLAH TUNAI HAJI HANYA SEKALI

Sebenarnya, Nabi Muhammad hanya melaksanakan ibadat haji sekali dalam hidupnya. Ibadat haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Ibrahim. Ia menjadi Rukun Islam. 

Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah. Perintah wajib itu setelah turunnya ayat 97, surah Ali Imran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk.” 

Lanjutan perintah itu, pada tahun itu, Rasulullah SAW bersama kira-kira 1,500 orang Islam dari Madinah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardu haji. Bagaimanapun, Rasulullah SAW dan rombongan tidak dapat mengerjakan haji pada tahun itu kerana dihalang oleh kaum Quraisy yang tidak membenarkan rombongan memasuki kota Makkah. 

Halangan itu pada awalnya menyebabkan kekecohan, tetapi diselesaikan dengan aman apabila masing-masing bersedia menandatangi Perjanjian Hudaibiyah. Antara kandungan Perjanjian Hudaibiyah ialah umat Islam hanya dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya dan hanya boleh tinggal selama tiga hari sahaja.

Biarpun gagal memasuki kota Makkah pada tahun ke 6 Hijrah, perjanjian itu sebenarnya membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya (tahun ke-7 Hijrah), Rasulullah mengerjakan umrah bersama 2,000 umat Islam.

Sikap kaum Quraisy yang tidak mematuhi Perjanjian Hudaibiyah yang melarang mana-mana pihak bekerjasama dengan kabilah dalam usaha melakukan perperangan terhadap mana-mana pihak, maka Rasulullah SAW telah mengambil keputusan untuk menyerang dan membebaskan kota Makkah daripada kuasa kaum Quraisy pada tahun ke 8 Hijrah. 

Lanjutan, kemenangan menguasai kota Makkah, maka tiada lagi halangan untuk orang Islam memasuki dan tinggal di Makkah bila-bila masa dan selama mana dikehendaki. 

Maka itu juga, pada tahun ke-9 Hijrah ibadat haji dapat dikerjakan. Pada tahun itu, Rasulullah SAW tidak melakukannya, tetapi mengarahkan Saidina Abu Bakar mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

Baginda hanya menunaikan fardu haji pada tahun berikutnya iaitu pada tahun ke 10 Hijrah. Ini bermakna Rasulullah SAW hanya menunaikan haji sekali saja semasa hayat baginda. 

Baginda wafat pada 12 Rabiawal tahun ke 11 Hijrah. Haji itu dinamakan Hijjatul Wada dan juga Hijjatul Balagh, Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal.

Baginda berangkat dari Madinah pada Sabtu, 25 Zulkaedah 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat. Ketika itu, pentadbiran Kota Madinah diserahkan kepada Abu Dujanah Al-Ansari.

Baginda dan rombongan berhenti di Zulhulaifah (Bir Ali) dan bermalam di situ. Kini kawasan berkenaan dikenali dengan nama Bir Ali, 10 kilometer dari Madinah.

Hari berikutnya baginda dan umat Islam memakai ihram dan berniat haji serta mengucap talbiah. Bunyi baginda dan sahabat bertalbiah bergema di sepanjang jalan dari Madinah ke Makkah.

Rombongan baginda memasuki Makkah mengikut Thaniah Kada iaitu jalan berhampiran perkuburan Maala pada Ahad 4 Zulhijjah selepas sembilan hari dalam perjalanan.

Sebaik terpandang Kaabah, baginda berdoa yang bermaksud: "Ya Allah tambahkanlah Baitullah dengan kemuliaan dan kebesaran kehebatan dan kebajikan."

Baginda masuk ke dalam Masjid al-Haram dan tawaf sebanyak tujuh kali. Kemudian baginda mengerjakan sembahyang dua rakaat di belakang Makam Ibrahim dan meminum air zam-zam.

Selepas itu, baginda bersaie di antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali dan apabila naik ke atas Bukit Safa, baginda mengucapkan kata-kata yang bermaksud:

"Tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa yang melaksanakan janjinya dan menewaskan segala pasukan musuh Islam dengan kekuasaannya.”

Pada 8 Zulhijjah baginda berangkat ke Mina dan bermalam di situ. Keesokan pula baginda bersama umat Islam menuju Arafah dan baginda memberikan khutbah.

Antara kandungan khutbah baginda berkata: "Wahai sekalian umat manusia, dengarlah percakapanku ini, kerana aku tidak tahu boleh jadi aku tidak lagi berjumpa kamu selepas ini di tempat wukuf ini buat selama-selamanya."

Rasulullah SAW menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Pada 14 Zulhijjah pula, Rasulullah SAW berangkat meninggalkan Makkah untuk pulang ke Madinah.

Ketika wukuf ada beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam, di antara ialah Rasulullah minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa pada hari wukuf tidak diwajibkan ibadat puasa.

Seorang sahabat jatuh dari binatang tungganggan lalu mati. Rasulullah menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan dua kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad serta kafannya.

Baginda bersabda bahawa sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan berihram dan bertalbiah.

Rasulullah menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan mengenai ibadat haji. Baginda bersabda yang bermaksud: “Haji itu berhenti di Arafah. Sesiapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah, maka dia sudah mengerjakan haji.”

Turun wahyu terakhir iaitu iaitu ayat 3 Surah al-Maidah yang bermaksud: “Pada hari ini aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku reda Islam itu menjadi agama untuk kami.”

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti pengorbanan Rasulullah SAW berjalan dari Madinah ke kota Makkah selama sembilan hari untuk menyempurnakan ibadat haji.

No comments:

Post a Comment