Sunday 8 July 2018

SEDIH TIDAK MAMPU BELI DURIAN

Buah durian sudah gugur. Banyak gambar durian dimuaturun dalam media sosial. Masing-masing berkongsi rezeki durian di kebun mahupun membeli di tepi jalan. Harga durian kampung yang pada suatu ketika dahulu dijual murah apabila musim gugur memuncak, kini masih lagi dianggap mahal.

Mahal atau murah harga durian bukan disebabkan ekonomi negara. Harga durian diimbangi atau ditentukan oleh penawaran dan permintaan. Jika penawaran tinggi dan permintaan rendah, maka harganya akan jadi rendah. Sebaliknya, jika penawaran rendah dan permintaan tinggi, maka harga di pasaran akan jadi tinggi.

Harga durian jadi mahal disebabkan pembeli sanggap membeli dengan harga mahal. Malah menjadi kebanggan pula dapat makan durian mahal. Mereka akan muat naik gambar sedang makan durian dan dinyatakan nama jenis durian itu. 

Biarpun tidak dinyatakan harga yang dibayar untuk membeli durian, semua orang maklum mengenai harga durian popular seperti musang king atau raja kunyit. Hanya orang kaya sahaja boleh makan jenis durian musang king. Jadi, sesiapa yang muat naik gambar makan durian musang king, itu boleh diangggap golongan kaya.

Kita tidak perlu bising dan merungut jika harga durian mahal. Jika rasa tidak sanggup atau tidak bersedia untuk membeli harga yang ditetapkan, jangan beli. Anggaplah bukan rezeki kita boleh makan buah durian. 

Buah durian bukan makanan wajib. Jika tidak makan durian tidak akan ada sesuatu perkara buruk akan berlaku kepada kesihatan. Durian bukan barang keperluan wajib yang mesti dimakan. Jadi, tidak perlu bimbang atau terbeban perasaan disebabkan tidak mampu membeli durian.

Ketika kita tidak makan durian, sebenarnya ramai yang senasib dengan kita. Pertama, orang tidak makan durian kerana tidak mampu membeli atau membayar harga yang mahal. Kedua, banyak orang tidak makan durian kerana tidak tahan bau dan rasa yang dikatakan tidak menyenangkan. Dan ketiga adalah kerana masalah penyakit. 

Makan durian memberi kesan buruk kepada mereka mengidap kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Beringatlah jika ingin makan durian. Jangan makan terlalu banyak yang boleh mengundang bahaya kepada kesihatan.

No comments:

Post a Comment