Saturday, 7 March 2020

BAGAIMANA IKLAN PENGARUHI PEMBELI

Industri pengiklanan melibatkan jumlah perbelanjaan berbilion ringgit setahun. Terdapat syarikat pengiklanan yang mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa dan melibatkan pelaburan yang besar.

Mengapakah iklan amat penting sehingga syarikat sanggup menyediakan peruntukan yang besar untuk pengiklanan? Terdapat syarikat memperuntuk kira-kira 60 peratus daripada perbelanjaan operasi syarikat untuk iklan. Tanpa iklan tiada jualan atau urusniaga.

Inilah realitinya sehingga menyebabkan setiap hari pengguna disajikan dengan pelbagai iklan melalui televisyen, radio, akhbar, majalan, risalah, papan iklan, media sosial, laman sesawang dan sebagainya.

Jika dahulu pengiklan hanya mengharapkan akhbar dan televisyen sebagai medium iklan mereka, kini ramai sudah beralih kepada medium alam maya. Pengendali media sosial seperti Youtube dan Facebook kini menjadi pilihan untuk medium pengiklanan alam maya, selain di blog dan laman sesawang.  

Sememangnya peranan iklan amat besar dalam membantu memasarkan sesuatu barangan atau perkhidmatan. Melalui iklan memudahkan pembeli membuat pilihan atau mengetahui tentang sesuatu barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam pasaran yang ditawarkan untuk mereka.

Dalam hal ini keberkesanan iklan amat penting. Kreativiti dan ‘nilai’ iklan banyak mempengaruhi kejayaan matlamat iklan itu sebenarnya. Sebab itu agensi pengiklanan mempunyai tenaga kepakaran khusus untuk menghasilkan iklan yang menarik dan menepati kehendak pengiklan.

Medium pengiklanan yang didapati paling mendapat pilihan pengiklan ialah media elektronik, khususnya televisyen. Biarpun perbelanjaan iklan melalui televisyen melibtkan kos yang tinggi, ia berbaloi. 

Iklan melalui televisyen boleh menampilkan mesej yang lebih berkesan kepada khalayak yang ramai.  Siaran televisyen ditonton oleh jumlah yang lebih ramai berbanding dengan mediaum lain. Jadi, sasarannya lebih meluas dan kebarangkalian ia berjaya mencapai sasaran yang dimaksudkan akan lebih besar.

Tambahan pula kreativiti agensi pengiklanan menghasilkan iklan untuk siaran televisyen lebih bermacam ‘ragam’ dan pendekatan yang digunakan lebih khusus. Perhatikan daya kreativiti tenaga agensi pengiklanan menyediakan iklan yang mampu menyebabkan penonton terkejut, tertanya-tanya, seronok, sayu dan sebagainya apabila ia disiarkan di kaca televisyen.

Peraturan pengiklanan yang diamalkan di negara ini memberi kebebasan kepada pengiklan untuk menampilkan apa-apa sahaja bentuk iklan asalkan tidak menyalahi kod pengiklanan yang ditetapkan oleh kerajaan yang meliputi nilai budaya, keagamaan dan sensitiviti masyarakat.

Seperti mana ia menarik minat orang ramai melihatnya, iklan juga mudah mengundang perasaan sensitif orang ramai. 

Iklan bukan sahaja mampu menarik orang ramai tentang produk yang diiklankan, tetapi lebih daripada itu. Sebenarnya iklan bukan sahaja dinilai dalam aspek komersial, tetapi juga mampu mempengaruhi psikologi, normal kehidupan, dan pengajaran kepada penonton.

No comments:

Post a Comment